“Sempat Berhubung Dengan Arwah Menerusi Panggilan Video, Ibu Hampir Pengsan Polis Datang Rumah Beritahu Adik Dah Tiada”

ALOR GAJAH – “Mak hampir pengsan polis datang rumah beritahu adik dah tiada,” kata Mohd Lufty Mohd Rusdi, 20-an, abang sulung kepada Allahyarham Ahmad Daniel Ruzwan Iskandar Mohd Rusdi, 19.

Allahyarham merupakan salah seorang mangsa kemalangan maut di Kilometer 204.5 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara di sini malam tadi.

Mohd Lufty berkata, kejadian diketahui jam 4 pagi ketika sedang tidur selepas pulang dari kerja.

Menurutnya, arwah adiknya seorang yang ceria dan bercakap apa yang perlu selain kerap berhubung dengan ibu serta adik ketiga menerusi aplikasi WhatsApp termasuk bertanya khabar berita.

“Dah lama arwah tak pulang ke rumah kali terakhir masa Hari Raya Aidiladha dan ada dia WhatsApp nak balik ke rumah dalam masa terdekat namun tidak kesampaian.

“Selepas terima berita sedih itu jam 6 pagi kami bertolak ke Melaka dan saya pun tak dapat nak memandu kereta kerana tangan menggigil selepas mendengar berita itu dan ayah yang memandu kereta hingga kami sampai ke Melaka,” katanya.

Ibu kepada Muhammad Luqman Hakim, Rohana Hashim,42, berkata, dia tidak menyangka terpaksa menatap wajah anak yang kaku dan tidak bernyawa.

Menurutnya, biarpun sukar menerima kenyataan kehilangan anak sulung dari empat beradik itu namun reda dengan ujian yang diberikan ALLAH SWT.

“Kami sekeluarga terima segalanya walaupun pahit untuk ditelan namun segala yang berlaku adalah suratan ALLAH SWT,” katanya.

Rakan mangsa, Anis Qamarina Zaidilah,20, berkata, dia sempat berhubung dengan kedua-dua arwah menerusi panggilan video kira-kira jam 6.45 petang beberapa jam sebelum kejadian.

“Arwah Daniel maklumkan mereka berhenti di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Pagoh untuk bertukar pemandu kerana Luqman keletihan, namun selepas jam 10 malam saya cuba hubungi mereka namun gagal sebelum rakan memberitahu mereka maut dalam kemalangan,” katanya.

Artikel Berkaitan   Lelaki Tak Sangka Rasa Letih Rupanya Ada 20 Ekor Cacing Yang Bersarang Di Matanya

Jenazah Muhammad Luqman Hakim dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kangkar Pulai, Johor Bahru manakala Ahmad Daniel Ruzwan Iskandar di Tanah Perkuburan Islam Jabor, Kemaman Terengganu.

Sementara itu Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, ujian saringan air kencing yang dilakukan terhadap pemandu treler yang terbabit dalam kemalangan maut di di Kilometer 204.5 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran kawasan rehat dan rawat (R&R) Ayer Keroh disahkan negatif.

Bagaimanapun menurutnya pihak polis masih menunggu keputusan ujian darah yang dilakukan daripada pihak patologi.

“Ujian saringan awal air kencing dilakukan ke atas lelaki berusia 54 tahun itu didapati negatif.

“Dalan masa sama keterangan dan rekod percakapan daripada pemandu treler itu telah diambil,” katanya.

Terdahulu Sinar Harian menyiarkan dua pelajar lelaki sebuah kolej kejururawatan maut dalam kemalangan membabitkan empat buah kenderaan di Kilometer 204.5 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara di sini malam tadi.

Dalam kejadian lebih kurang jam 7.57 malam mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Johor menghala ke Kuala Lumpur sebelum dirempuh sebuah treler yang masuk ke laluan bertentangan.

Kedua-dua mangsa berusia 19 tahun dikenali sebagai Ahmad Daniel Ruzwan Iskandar Mohd Rusdi beralamat di Kemaman, Terengganu manakala seorang lagi mangsa dikenal pasti sebagai Luqman Hakim Mosyazid beralamat di Pulai, Johor.