Seru Rakyat Makan Lebih Banyak Minyak Kelapa Sawit, Najib Sifatkan Teresa Kok ‘Kreatif’

Tubuhkan kelab duta minyak sawit, Najib sifatkan Teresa ‘kreatif’

KUALA LUMPUR 20 Dis.- Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim sangat kreatif dan berinovasi untuk melahirkan idea-idea baru.

Ini susulan cadangan terbaharu Teresa yang mahu pelajar sekolah dan universiti negara Malaysia untuk menyertai kelab kelapa sawit dan menjadi duta minyak sawit.

Najib dalam satu hantaran di Facebook berkata, sama ada idea yang dikemukakan itu baik atau tidak bukan satu isu.

“Bulan lepas beliau mahu ladang-ladang kita guna payung pokok getah untuk menghadapi musim tengkujuh. Minggu lalu pula, dia seru rakyat untuk makan lebih banyak minyak kelapa sawit.

“Manakala beberapa hari lalu pula dia seru semua ahli MCA untuk membeli buah tandan segar kelapa sawit sebagai pemberian hadiah hari Natal bagi menampung harga sawit yang semakin menurun. Syabas YB Teresa. Teruskan berusaha dan seru,” kata Najib.

Semalam media melaporkan, Kementerian Industri Utama akan mewujudkan sebuah kelab membabitkan pelajar sebagai duta minyak sawit untuk melahirkan kesedaran terhadap industri ini.

Teresa berkata, inisiatif itu akan dilaksanakan sepanjang 2019 di universiti dan sekolah untuk melahirkan kesedaran dalam kalangan pelajar terhadap manfaat kesihatan dan isu lain berkaitan minyak sawit.

Penubuhan kelab itu berikutan kurang pemahaman dalam kalangan rakyat berhubung isu berkaitan industri ini.

Melalui kelab itu, pelajar digalakkan menganjurkan aktiviti dan menulis supaya lebih ramai rakyat Malaysia yang mempertahankan produk tempatan.

Bernama sebelum ini melaporkan, Kesatuan Eropah (EU) akan menamatkan penggunaan minyak sawit sebagai bahan api pengangkutan bermula 2030, yang menimbulkan bantahan daripada pengeluar utama iaitu Malaysia dan Indonesia.

EU adalah pengimport kedua terbesar minyak sawit Malaysia selepas India.

Untuk 2017, perolehan minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit dieksport ke EU adalah RM11 bilion, yang mana RM 777.7 juta adalah daripada 235,291 tan biodiesel. – UTUSAN ONLINE