Setelah Ada Bukti Kukuh, Penganggur Mengaku Bersalah “Pau” Orang Awam Rm1, “Polis” Ini Dituduh Menyamar

PENGANGGUR dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret Raub, hari ini, selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan menyamar sebagai anggota polis, 27 November lalu.

Tertuduh, Mohamad Ali Zainal, 33, sebelum itu membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Shahrul Ekhsan Hasim.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyamar sebagai penjawat awam iaitu anggota polis kepada dua individu yang juga penumpang sebuah bas di Jalan Tun Razak pada 27 November lalu jam 12.30 tengah hari.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa, Inspektor Shamfuliza Azami manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Shahrul Ekhsan menjatuhkan hukuman penjara enam bulan bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan hukuman itu berjalan serentak.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian pengadu yang juga pemandu bas Pahang Lin Siong menerima aduan daripada seorang penumpang berhubung tindakan seorang lelaki meminta kad pengenalannya dan memperkenalkan diri sebagai anggota polis tanpa menunjukkan kad kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Suspek juga meminta wang RM1 daripada beberapa penumpang.

Bimbang dengan perlakuan suspek itu, pengadu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub.

Artikel Berkaitan   Bila Ditanya “Betul Ke Roti Gardenia Enak Dimakan Begitu Sahaja?” Selamba Mufti Wilayah Bagi Jawapannya