“Setelah Buat Kajian, Saya Rasa Pembedahan Ini Adalah Cara Terbaik” Anak Nora Selamat Di Hospital

Khuatir terhadap kesihatan anaknya, penyanyi Nora Ariffin bersetuju supaya anaknya, Alif Johan menjalani pembedahan bariatic atau pintasan saluran pemakanan bagi tujuan menurunkan berat badan.

Nora atau nama sebenarnya, Wan Norafizah Ariffin, 46, berkata, Alif, 20, selamat menjalani pembedahan berkenaan di sebuah hospital swasta pada Jumaat minggu lalu.

Menurut Nora, biarpun hasil pemeriksaan awal pakar perubatan mendapati Alif bebas daripada sebarang penyakit kronik, namun sebagai ibu dia berazam mahu melihat anaknya hidup sihat.

“Saya pernah berusaha untuk menyokong dia menurunkan berat badan dengan berdiet dan bersenam, tetapi tidak berjaya. Maklumlah pada usia seperti Alif sukar untuk memastikan dia komited.

“Jadi, saya membuat kajian tentang pembedahan bariatic sebelum bersetuju pembedahan tersebut dilakukan terhadap Alif. Pembedahan tersebut adalah selamat,” katanya kepada Kosmo! Online hari ini.

Dedah Nora, berat badan Alif pernah mencecah sehingga 130 kilogram dan dia tidak mahu anaknya terus terperangkap dengan masalah obesiti.

Tambahnya, secara kebetulan Alif mahu terbabit aktif sebagai penyanyi dan keputusan menjalani pembedahan tersebut adalah tepat.

“Badan kurus, tetapi tidak boleh menyanyi pun tidak berguna. Faktor utama kami melakukan pembedahan ini adalah di atas faktor kesihatan. Kebetulan, Alif mahu aktif sebagai penyanyi, jadi ini masa yang tepat,” ujarnya.

Pelantun lagu Hanya Satu itu berkata, selepas menjalani pembedahan, Alif sudah boleh bergerak, namun perlu mengelak daripada mengambil makanan berbentuk pepejal.

Nora juga akan berkongsi proses penyembuhan Alif menerusi laman sosial sebagai perkongsian ilmu kepada mereka yang bergelut dengan masalah obesiti. – K! ONLINE

Artikel Berkaitan   “Tiap-Tiap Anak Punyai Bau Keistimewaan Masing-Masing. Jadi, Mak Pun Hidu Udara Bilik Tu Sedalam-Dalamnya Untuk Hilangkan Rindu Pada Anak-Anak”