Setelah Setahun Bergelar Isteri Sultan Kelantan, Firma Guaman Sahkan Penceraian Talak 3

FIRMA Guaman Eversheds Harry Elias LLP mengesahkan perceraian Sultan Kelantan Sultan Muhammad V dan Rihana Oksana Gorbatenko.

Firma berkenaan melalui peguamnya, Koh Tien Hua memaklumkan Sultan Muhammad V bercerai talak tiga pada 22 Jun 2019 mengikut undang-undang syariah.

“Kami adalah peguam mewakili Sultan Muhammad V. Dimaklumkan Baginda bercerai talak tiga dengan Rihana Oksana Gorbatenko pada 22 Jun 2019 mengikut undang-undang Syariah.

“Mahkamah Syariah Kelantan sudah mengeluarkan Surat Perakuan Perceraian pada 1 Julai 2019 mengikut Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2002.

“Kami mewakili Sultan Muhammad V memohon privasi Baginda dihormati,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan tiada sesiapa boleh digelar sebagai Permaisuri Kelantan, Raja Perempuan Kelantan, Sultanah Kelantan atau Queen of Kelantan tanpa sebarang pengumuman rasmi daripada Istana Kelantan.

Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Nik Mohd Shafriman Nik Hassan dalam kenyataan media berkata, Yang Teramat Mulia Dr Tengku Muhammad Faiz Petra adalah Tengku Mahkota Kelantan dan bonda Sultan Muhammad V, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid digelar Yang Maha Mulia Raja Perempuan Tengku Anis.