“Seurat Rambut Pakai Tudung Pun Kau Boleh Nak Zoom, Nah Ni Gambar Tak Bertudung Aku” Fiza Berang Dengan Kelakuan Netizen

AKIBAT tidak tahan sering kali menjadi mangsa kritikan pengguna laman sosial menerusi Instagramnya, pelakon dan penyanyi Fiza Halim menempelak golongan berkenaan yang dianggap terlalu gemar mencari aib dan kesalahan orang lain.

Menerusi kiriman terkini dalam Instagramnya baru-baru ini, Fiza, 38, berang dengan seorang pengguna yang menegur salah satu gambarnya memakai jubah yang dikatakan menampakkan kesan pakaian dalam.

Dakwa pemilik nama sebenar Siti Zaidatul Fiza Abd. Halim, 38, dia bukannya tidak boleh menerima nasihat tetapi biarlah teguran yang diberikan berpada-pada dan kena dengan cara.

Ikuti penjelasan daripada pelakon filem Anak Mami The Movie itu ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

KOSMO!: Baru-baru ini Fiza ada melepaskan geram kerana menjadi mangsa buli pengguna media sosial. Boleh komen lanjut tentang perkara berkenaan?

FIZA HALIM: Apa yang saya tulis dalam Instagram tempoh hari adalah disebabkan sudah tidak tahan dengan sikap segelintir netizen yang sesuka hati bercakap apa yang mereka suka. Saya pakai jubah, dikatakan nampak bentuk baju dalam.

Apa jua aktiviti yang dikongsikan dalam media sosial, ada sahaja tidak kena pada mata mereka. Sedangkan kalau tidak zum masuk (zoom in), gambar tersebut nampak biasa sahaja.

Maknanya sekarang, ini semua tergantung terhadap sikap seseorang untuk menerima perkongsian kami. Kalau dilihat dari sudut negatif, ada sahajalah kesalahan yang mereka nampak.

Jadi apakah motif anda menulis teguran tersebut sambil memuat naik gambar lama yang tidak bertudung dan menampakkan rambut merah keperangan?

Sebenarnya saya mahu menyindir golongan yang gemar mengecam tidak tentu hala. Lain orang lain cara. Kalau artis lain ambil pendekatan diamkan diri atau sekat pengguna negatif sebegitu, saya pula berbeza.

Saya tidak akan sekat tetapi saya akan balas setiap komen yang ditinggalkan supaya mereka tahu apa yang dilakukan, ada salahnya. Kalau mereka tidak mahu terima, itu terpulang.

Jika diikutkan, dahulu saya pun jenis yang ambil pendekatan berdiam diri. Lama-kelamaan, saya pun tidak tahan kerana golongan itu semakin melampau. Sampaikan gambar saya pada tahun 2017 pun mereka korek semula dan tinggalkan komen. Kadangkala saya pelik dengan apa yang mereka mahu. Semua tidak kena, ada sahaja yang mahu dikritik.

Apa pula komen anda apabila ada yang mendakwa anda tidak boleh menerima teguran?

Saya terima apa sahaja teguran tetapi apa yang membuatkan saya kecewa adalah sikap orang kita yang sangat gemar mencari salah orang lain. Macamlah mereka sempurna sangat. Relakslah sedikit.

Saya sudah tua dan tahu jaga diri. Bukannya saya tidak tahu bab aurat. Mereka pun, belum tentu cukup solat lima waktu. Kalau bagus sangat, mereka tidak akan habiskan masa tengok atau telek gambar saya dengan begitu teliti sampaikan boleh nampak kesan baju dalam.

Baiklah. Boleh kongsikan perkembangan terkini anda?

Baru-baru ini saya sudah siap merakamkan sebuah single baharu. Asalnya, untuk lagu tema sebuah filem, tetapi disebabkan berlaku sedikit masalah, jadi projek single itu ditunda seketika.

Maksudnya belum dapat dipastikan bila lagu tersebut akan dilancarkan. Cuma saya perlu sentiasa bersedia kerana bila-bila masa sahaja lagu itu akan dikeluarkan. Insya-Allah hujung bulan ini saya akan terlibat dengan penggambaran klip video lagu tersebut.

Bagaimana pula dengan dunia lakonan?

Tawaran berlakon sentiasa ada dan tidak pernah surut. Syukur, cuma disebabkan saya terikat dengan komitmen terhadap keluarga terutama ada anak kecil, Baby Aleena yang kini berusia hampir 11 bulan. Agak susah untuk tinggalkan dia memandangkan saya menjaganya sendiri.

Kalau keadaan mengizinkan, saya okey. Contohnya, ketika saya tampil dalam program Sepahtu Reunion beberapa bulan lalu, waktu itu suami ambil cuti. Jadi tiada masalah untuk saya muncul dalam mana-mana projek.

(Visited 37 times, 3 visits today)