Hasrat pelakon Shukri Yahya dan isterinya, Tya Adnan untuk menimang cahaya mata kedua tidak kesampaian apabila mengalami keguguran pada April lalu.
Shukri berkata dia reda dia atas apa yang berlaku dan menganggap belum masanya untuk mereka dikurniakan anak lagi. Kata Shukri lagi, isterinya disahkan berbadan dua pada Mac lalu.
“Tya disahkan hamil, Mac lalu. Namun, ketika itu, saya tidak mahu berkongsi kepada umum. Pada fikiran saya, biarlah orang ramai tahu sendiri atau jika ada yang bertanya,” katanya kepada BH Online.
Shukri memberitahu jika ada rezeki untuk menimang cahaya mata lagi selepas ini, dia mengimpikan seorang anak lelaki.
“Apabila disahkan doktor, kandungan sudah ‘kosong’. Tipulah jika saya kata tidak kecewa, cuma saya reda dengan ketentuan Tuhan.
“Insya-Allah… Saya pasti rezeki ada pada masa hadapan. Dikurniakan anak sulung perempuan, saya teringin anak lelaki untuk melengkapkan keluarga kecil saya,” katanya.
Shukri dan Tya mendirikan rumah tangga pada 2015 dan dikurniakan seorang puteri, Aaira Ameena yang berusia tiga tahun.