Sangat penting untuk mengatur perbelanjaan keluarga. Tapi bagaimana pula jika si isteri seorang yang boros?
Setiap bulan suami akan serahkan sejumlah wang kepadanya untuk menguruskan segala perihal rumah tangga. Itu belum lagi nafkah untuk dirinya sendiri. Tapi pasti tidak berbaki malah kadangkala dia akan meminta tambahan lagi kerana sudah ‘terguna’ wang untuk urusan rumah tangga. Tentu anda bengang bukan?
Tak bermaksud suami hendak berkira dengan isteri sendiri, tapi kalau kewangan tak dirancang betul-betul, boleh menjadi satu masalah besar di kemudian hari.Sifat boros memang sulit untuk dihilangkan, tetapi tidak boleh dibiarkan begitu saja. Ada langkah-langkah yang boleh diusahakan untuk menghilangkan sifat boros daripada isteri anda.
Bicara Dari Hati
Langkah pertama yang sangat penting dan harus dilakukan adalah membicarakan permasalahan yang terjadi. Kadangkala isteri tidak sedar bahawa dia tidak mengamalkan sikap berjimat cermat saat berbelanja. Kadangkala alasan yang diberi; dia bukan beli untuk dirinya sendiri tapi untuk anak misalnya. Tapi kalau setiap minggu nak shopping baju anak, boleh botak kepala suami dibuatnya!
Memang memberi nafkah isteri adalah kewajiban seorang suami, tetapi jika sudah pada tahap yang berlebihan harus dihentikan. Bicaralah secara terbuka dengan isteri agar dia menyedari kesalahannya dan akhirnya bersedia untuk mula mengatasi permasalahan tersebut. Jika isteri tidak mengetahui apa kesalahannya, masalah tidak akan dapat diatasi sampai bila-bila.
Tunjukkan Jumlah Belanja Bulanan
Anda boleh ajak isteri bersama-sama untuk mengira perbelanjaan bulanan keluarga. Mungkin selama ini dia tak perasan kerana setiap kali minta duit, anda akan berikan saja. Dia tidak sedar kebiasaan itu sebenarnya membebankan anda sebagai suami. Apatah lagi jika dia suka membeli sesuatu yang bukan keperluan. Setelah menyedari jumlah perbelanjaan bulanan, mungkin baru isteri akan menyedarinya.
Rancang Kewangan
Membuat perancangan kewangan untuk jangka masa panjang sangat berkesan untuk mengubah mindset seseorang. Mungkin ketika ini isteri berbelanja dengan boros kerana tidak menyedari keperluan wang itu pada masa hadapan. Mungkin kerana anak-anak masih kecil dan ahli keluarga belum ramai. Bayangkan jika anak-anak semakin ramai dan semakin besar. Perbelanjaan pasti semakin tinggi diperlukan terutama untuk pelajaran mereka. Jadi, ajak isteri untuk duduk dan rancang kewangan keluarga agar dia tahu kedudukan kewangan keluarga.
Jangan Beri Sekali Gus
Sekiranya isteri anda seorang yang suka menghabiskan wang belanja bulanan secara sekali gus, anda mungkin boleh ubah taktik dengan memberikannya secara sedikit demi sedikit. Misalnya memberinya secara mingguan. Mungkin jika memberikan sekali gus di awal bulan, isteri berasakan wang yang dimilikinya banyak dan boleh berbelanja dengan mudah sedangkan wang itu adalah untuk sebulan!
Komitmen Bersama
Ajak isteri membuat komitmen bersama. Misalnya isteri gemar Melancong. Jadi boleh pujuk isteri untuk sama-sama menabung dan menjaga bajet keluarga sekiranya di hujung tahun ingin bercuti sekeluarga ke tempat yang diidamkannya, misalnya ke luar negara. Dengan cara ini dapat mendidik isteri untuk bersama-sama menjaga bajet keluarga.
Kesimpulannya, suami isteri harus berbincang tentang soal perbelanjaan. Bebelanja harusah mengikut keperluan,bukan kehendak. Jika selalu berbelanja ikut kemahuan,kelak akan menimbulkan masalah,seperti hutang bertambah,duit sering tak cukup dan paling ditakuti membawa kepada masalah rumah tangga disebabkan selalu bergaduh dek tak cukup duit.
Bila suami tegur cara isteri berbelanja bukan bermakna kedekut,tetapi untuk keselesaan pada masa akan datang. Semoga artikel ini memberi manfaat kepada kita semua.
Sumber: mingguanwanita.my