Sudahlah Dituduh Ada Hutang Kad Kredit Yang Banyak, Ditipu “Pegawai Mahkamah” Pula, Lelaki Ini Hilang RM15,400 Sekelip Mata

LIPIS – Malang bagi seorang ahli bomba di sini apabila kerugian RM15,400 selepas melayan panggilan telefon daripada individu mengaku pegawai mahkamah ketika kejadian semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, suspek berkenaan mendakwa lelaki berusia 46 tahun itu memiliki tunggakan hutang kad kredit.

“Pengadu (mangsa) telah terima satu panggilan telefon daripada nombor 99096354722 dan kononnya disambungkan ke sebuah mahkamah di Terengganu.

“Suspek memperkenalkan diri sebagai Faizal Zamri yang kononnya pegawai perhubungan Mahkamah Majistret Terengganu,” katanya menerusi kenyataan.

Ujar beliau lagi, suspek mendakwa mangsa memiliki tunggakan hutang kad kredit sebanyak RM13,600 sebelum talian disambungkan kepada ‘Sarjan Amir Singh’.

“Sarjan Amir mengatakan pengadu terlibat jenayah dan meminta pengadu memasukkan semua wang simpanannya ke dalam nombor akaun bank yang diberi,” tambahnya.

Beliau berkata lagi, mangsa memasukkan wang sebanyak  RM15,400 ke dalam akaun bank milik individu tidak dikenali pada petang semalam sebelum menyedari ditipu.

Mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Lipis dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE

Artikel Berkaitan   “Saya Sanggup Menghantar Mesej Peribadi (DM) Kepada Ibunya” Suami Mira Filzah Cerita Detik Hatinya Mula Cair