BUKAN sahaja manusia yang tidak dapat menahan gelombang panas yang melanda Australia susulan kebakaran hutan yang semakin merebak di negara itu.
Malah haiwan juga terpaksa berdepan tekanan untuk kekal hidrat sepanjang menghadapi gelombang panas.
Jika sebelum ini media antarabangsa yang melaporkan ribuan beruang koala mati dalam kebakaran hutan dan hilang akibat kehilangan tempat tinggal.
Terbaharu, tular di media sosial seekor koala terpaksa mengejar manusia untuk mendapatkan air kerana kehausan.
Menerusi perkongsian di Instagram, Anna Heusler yang sedang berbasikal bersama rakan-rakannya di Adelaide pada Jumaat ‘disapa’ haiwan itu.
Perkongsian tersebut mendapat perhatian netizen yang rata-rata turut bersimpati dengan keadaan haiwan itu yang terpaksa berdepan cuaca mencecah 40 darjah celcius.
Ketika ini, sejumlah 5 juta hektar direkodkan terbakar di seluruh Australia sejak beberapa bulan lalu.
Kejadian ini turut menyebabkan sembilan maut manakala lebih 950 kediaman musnah dijilat api.
Kawasan yang paling teruk terjejas adalah New South Wales apabila merekodkan 850 kediaman terbakar.