Tak Cukup 37 Pertuduhan Rasuah Minggu Lalu, 4 Lagi Tuduhan Rasuah Dibongkar Ke Atas Bekas CEO SSM

IPOH – Selepas menghadapi 37 pertuduhan rasuah minggu lalu, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Datuk Zahrah Abd Wahab Fenner dan anak lelakinya, Abdulazeez Wan Ruslan didakwa lagi dengan empat pertuduhan di Mahkamah Sesyen Ipoh di sini hari ini.

Zahrah dan Abdulazeez masing-masing dikenakan dua pertuduhan bersubahat serta menerima suapan berjumlah RM250,000 pada 18 dan 25 Mei tahun lalu secara deposit di Maybank Islamic Berhad cawangan Menglembu di sini.

Kedua-dua tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta kes dibicarakan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Wahidah Jalaluddin memohon kepada Hakim, S Indra Nehru supaya kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Jalan Duta untuk dibicarakan serentak dengan 37 pertuduhan dengan mengambil kira Seksyen 64 Akta SPRM 2009 memandangkan ia melibatkan saksi sama dan tempoh waktu berlaku.

Pada 2 Oktober lalu, Zahrah dan Abdulazeez masing-masing dikenakan 33 dan empat pertuduhan rasuah melibatkan RM5.7 juta oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan   Ramai Tak Tahu Ikan Paus Sebenarnya Bertanggungjawab Mengekalkan Suhu Bumi, Tapi Banyak Yang Sudah Mati, Ini Kesannya!