“Tak Mahu Dipanggil Anak Derhaka Atau Tanggang,” – Susulan Teguran Bonda Rozita, Aliff Syukri Mengaku Sudah Mohon Ampun Pada Ibu

“Saya menghormati dan tahu saya bersalah.” Itu kata usahawan selebriti, Datuk Seri Aliff Syukri apabila diminta mengulas mengenai teguran terbuka yang dibuat ibunya, Rozita Ibrahim menerusi Instagram, beberapa hari lalu.

Katanya lagi, dia juga tidak mahu dilabel sebagai anak derhaka sebagaimana yang didakwa netizen dan keduanya sudah pun bertemu secara peribadi.

“Saya tak mahu dipanggil netizen sebagai anak derhaka atau anak tanggang. Malah saya sudah pun bertemu empat mata dengan mak bagi menjernihkan keadaan.

ADVERTISING

“Saya sudah mohon maaf kepadanya. Janji saya kepadanya, tidak akan riak lagi dan akan cuba untuk ikut apa yang dikata,” jelasnya kepada MH.

Ditanya sama ada dia akan turuti nasihat orang tua andai diminta untuk tidak lagi melancarkan lagu, bapa kepada lima cahaya mata ini ada jawapan sendiri.

“Kalau diminta untuk tidak buat lagu lagi… dia macam inilah, lagu adalah jiwa saya. Jadi walaupun orang tak suka, tidak mengapalah saya keluarkan juga.

“Walau komposer tak mahu buatkan lagu, saya yang melabur untuk mereka buka lagu untuk saya. Ibaratnya macam itulah,” akui Aliff.

Pada masa sama, Aliff turut akui tidak berapa gemar apabila ibunya membuat teguran secara terbuka sekali gus meninggalkan reaksi bercampur-campur netizen.

“Kalau boleh janganlah kutuk-kutuk di Instagram. Jumpalah secara berdepan. Akan tetapi memang sebelum ini dia ada nasihatkan saya juga.

“Jadi bila bertemu, kami berpelukan dan menangis sama-sama. Secara tak langsung, ia mengeratkan silaturrahim.

“Dia tetap mak kita, jadi saya sudah pun minta ampun dan maaf dengannya. Sebelum ini juga dia ada hubungi dan ada panggilan yang saya tak jawab.

Artikel Berkaitan   (Video) 'Tak sampai hati melihat ada yang terluka, saya kahwini mereka berdua sekali gus'

Jadi atas sebab itu, saya bertemu dengannya,” kata Aliff sejurus sidang media pelancaran single terkininya, Cuba Bahagia di Kota Damansara, pada Jumaat.

Turut sama dilancarkan pada majlis sama ialah video klip lagu berkenaan yang sebelum ini menjadi buah mulut ramai kerana mempunyai babak seolah-olah pengasas kosmetik itu mengalirkan air mata darah.

Terdahulu, ibu Aliff ada memuat naik video yang antara lain menegur seterusnya menasihati anaknya itu agar menjadi ahli perniagaan yang profesional.

Rozita dalam video berdurasi kurang tiga minit itu turut menempelak tindakan Aliff yang kini muncul dengan lagu baru.

Sumber : MH