Tak Puas Hati Pihak Berkuasa Serbu Rumah “Projek”, Pelacur Ini Buat Khianat Kepada Kenderaan, Ini Respon Polis

KUALA LUMPUR – Tidak puas hati dengan tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) menyerbu premis tempat kerjanya, seorang wanita warga Vietnam bertindak melakukan khianat terhadap sebuah kenderaan rasmi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 21 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd [email protected] berkata, wanita berusia 33 tahun itu bagaimanapun ditahan selepas pihaknya menerima laporan berkaitan pada jam 2.32 pagi, 22 Oktober lalu.

Menurutnya, hasil soal siasat, suspek mengaku merosakkan kenderaan milik DBKL tersebut, selain didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Suspek kini ditahan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.

Terdahulu, Zairulnizam berkata, pengadu yang merupakan anggota penguat kuasa DBKL bertugas di Bahagian Tindakan Khas Bahagian Penguatkuasaan Premis melaporkan kenderaan jenis Toyota Hiace itu dirosakkan ketika serbuan dilaksanakan di premis di Jalan Radin Bagus, Bandar Baru Sri Petaling jam 11.40 malam 21 Oktober lalu.

Kejadian tersebut disedari selepas pengadu dan pasukan penguatkuasaan DBKL selesai melaksanakan serbuan di premis terbabit.

“Menurut pengadu, van tersebut didapati mengalami kerosakan dan terdapat kesan retak di bahagian cermin depan, cermin sisi sebelah kiri serta cermin belakang kenderaan tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Zairulnizam meminta orang ramai termasuk warga asing di negara ini supaya sentiasa menghormati dan patuh kepada undang-undang.

Menurutnya, tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada kepada mana-mana individu yang didapati melakukan kesalahan

“Pihak polis juga menggesa orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes berkenaan atau sebarang maklumat jenayah lain menghubungi IPD Brickfields di talian 03-22979222,” katanya.

Artikel Berkaitan   “Ya Allah Ambillah Pahala Daripada Ibadat Umrahku Serta Selamatkanlah Ibuku” Aaron Aziz Sayu Ibunya “Pergi” Dalam Keadaan Tidak Rela

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan sebuah kenderaan rasmi DBKL mengalami kerosakan akibat perbuatan khianat ketika pihak terlibat melaksanakan operasi tindakan khas di premis rumah urut dan pelacuran di dua lokasi berasingan sekitar Bandar Baru Sri Petaling.