“Takkan Jam 4 Petang Masih Makan Lagi” Masuk Kerja, Dr Zukifli Terus Tegur Sikap Pekerja Yang Tidak Amanah

Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam) akan perkenalkan cara kerja mengikut sistem piramid yang bukan kerja berseorangan dan menitikberatkan konsep masa ketika menjalankan tugas.

Dr Zulkifli juga menegaskan, beliau tidak mahu penjawat awam di bawah jabatan dan agensi kementerian mengabaikan waktu ketika bertugas.

Apa Yang Dr Zulkifli Mahukan?

Beliau mahukan ketua-ketua jabatan menyediakan laporan mingguan dan diserahkan kepadanya berkaitan tugas kakitangan bawahan. Tujuannya agar mereka semua bekerja secara profesional.

“Saya suka kerja secara piramid, saya bukan ‘one man show’ (kerja berseorangan). Mulai sekarang juga, setiap ketua perlu ada laporan mingguan bagi kakitangan bawahannya.

“Bos atau ketua unit perlu periksa kakitangan masing-masing. Jam 9 pagi mereka di mana, jam 3 petang mereka di mana, takkan jam 4 petang masih makan lagi. Ini budaya tak elok,” katanya.

Beliau memberitahu media di Masjid Tuanku Mizan Sultan Zainal Abidin di Putrajaya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian selepas menyampaikan Tausiyah Am (ceramah agama) kepada kakitangan jabatan dan agensi agama di bawah kementerian itu.

Turut hadir adalah timbalannya, Ahmad Marzuki Shaary dan Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Paimuzi Yahya.

Ketika mengulas mengenai hal-hal yang berkaitan masa, Zulkifli berkata, berdasarkan apa yang dia lihat dan perhatikan, ada kakitangan awam membazirkan waktu.

Antaranya mereka membuat kerja tidak penting, hilang ketika waktu bertugas, tempat duduk kosong, anak buah tidak dapat dikesan oleh ketua dan sebagainya. Ini adalah konsep atau amalan yang tidak sihat. Sepatutnya mereka datang awal, mulakan kerja awal dan hasilnya dapat siapkan kerja lebih awal.

“Perkara ini penting kerana nikmat yang kita miliki adalah untuk rakyat dan masa itu pula bersifat keemasan,” katanya.

Dr Zulkifli turut menjelaskan, beliau tidak masuk awal ke pejabat pada hari pertama bertugas sebagai menteri kerana perlu hadir dan selesaikan beberapa perkara berkaitan pelantikannya ke dalam Kabinet.

“Semalam saya tak masuk pejabat, sengaja saya masuk hari ini sebab nak solat sunat dhuha dan solat sunat hajat dengan tuan-tuan,” katanya lagi.

Menteri Agama menunaikan solat dhuha bersama kakitangannya. Foto – mhi.allnws

Perancangan terdekatnya adalah beliau akan memperkenalkan fail meja. Fail meja di penting kerana sebaik masuk pejabat, seseorang kakitangan sudah tahu apa kerja yang perlu dilakukan.

Apa yang beliau mahukan adalah kakitangannya setaraf dengan kakitangan di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) serta bekerja dengan profesional. Beliau mahu mengelak stigma buah mulut orang ramai bahawa orang agama dan agensi agama ini lemah, tidak stabil (dari segi kerja).

Di bawah pentadbirannya beliau memperkenalkan konsep rahmah, iaitu kasih sayang, bukan membalas dendam kerana amanah itu lebih tinggi dan menjadi pakaian bagi setiap umat Islam.

Kepada pekerja yang 200 peratus cemerlang, Dr Zulkifli akan berikan hadiah. Hadiah ini akan diberikan kepada semua peringkat jawatan termasuk yang berjawatan rendah, asalkan mereka layak.

Baguslah tu. Mula-mula jaga kakitangan dulu agar bekerja dengan lebih efisyen dan profesional. Min bekerja dengan syarikat swasta dan masa adalah keutamaan. Mahu hantar anak ke klinik? Terpaksalah bercuti.

Artikel Berkaitan   Warga Emas Meringkuk Di Penjara Gara-Gara Rogol Anak Sendiri, Harap Dapat Bersama Anak-Anak Sebelum “Pergi”