“Takkanlah 4 Minit Saya Nyanyi Semuanya Sumbang” Pernah Dikritik Gara-Gara “Terkucil” Masa Live, Nabila Razali Tidak Patah Semangat

Penyanyi, Nabila Razali kini telah tampil dengan video muzik Peluang Kedua, yang juga menampilkan MK daripada kumpulan K-Clique.

Memetik laporan dari Media Hiburan, Nabila mengakui sering mendapat kecaman daripada netizen dek kerana pernah ‘terkucil’ ketika menyanyi secara live sebelum ini.

Nabila bagaimanapun tidak menganggap ia sebagai pematah semangat, meskipun pernah merasa sesekali ‘down’ selepas dikritik begitu teruk.

“Saya bangkit semula selepas apa yang jadi. Sejujurnya saya memang down sangat-sangat dan saya perlukan satu hari untuk bangkit dan bekerja semula.

“Bagi sesetengah orang, mungkin mereka memandang perkara itu remeh kerana mereka anggap saya dah biasa nyanyi seteruk itu.

“Tapi bagi saya ia merupakan isu besar sebab saya tidak rancang untuk menyanyi seperti itu dan ia merupakan pertama kali saya menyanyikan lagu itu secara langsung,” katanya kepada Media Hiburan.

Penyanyi itu juga meluahkan rasa syukur dan akan memperbaiki mutu persembahan dan nyanyianya dari masa ke semasa.

“InsyaAllah jika diberikan kesempatan kenapa pula tidak. Jadi, saya perlulah persiapkan diri saya. Ini merupakan cabaran sebagai anak seni. InsyaAllah saya akan perbaiki lagi selepas ini.

“Apa pun yang terjadi janganlah cari yang silap je. Takkanlah 4 minit saya nyanyi semuanya sumbang. Mesti ada satu dua bahagian yang sedap,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, muzik video Peluang Kedua yang telah dimuatnaik pada 18 Ogos lalu, sehingga kini berjaya mencatatkan lebih 2 juta tontonan di YouTube.

kredit era

Artikel Berkaitan   “Saya Hilang Tempat Mengadu. Sepanjang Hayat, Isteri Tidak Pernah Mengeluh Apabila Kami Dikurniakan Anak Istimewa Ini”