Tanam 20 Hektar, Jumlah 1000 Pokok, 4000 Biji Semusim, Jual RM100 Sekilo, Tina Chong Mampu Jana Pendapatan Lumayan Dengan Musang King

Harga Musang King meningkat


HARGA durian Musang King yang merudum akhir bulan lalu kembali meningkat semula berikutan permintaan tinggi di pasaran khusus untuk eksport hingga mencecah RM40 sekilogram bagi gred A.

Berikutan itu, pengusaha kebun durian jenis itu di Gua Musang mengambil langkah menghentikan jualan di pasaran tempatan bagi mengelakkan persaingan durian kampung yang melambak sejak kebelakangan ini.

Pengasas durian Musang King pertama di daerah ini, Chong Yok Fong, 50, berkata, turun naik harga durian musang king itu adalah perkara biasa kerana ia bergantung kepada hasil pengeluaran.

Beliau yang dikenali sebagai Tina Chong mengakui harga durian itu jatuh teruk baru-baru ini sehinggaRM20 sekilogram kerana lambakan durian jenis itu daripada Pahang dan Johor.

Bagaimanapun, katanya, lambakan Musang King dari negeri terbabit kini sudah berkurangan dan ini menyebabkan raja buah dari daerah ini pula dapat di eksport ke Singapura, Hong Kong dan Taiwan yang mendapat permintaan tinggi.

“Kebun saya mampu mengeluarkan 4,000 biji musim ini kerana 500 daripada 1,000 pokok mengeluarkan hasil berbanding tahun lalu hanya 600 biji saja.

“Ketika pengeluran hasil kurang tahun lalu harga pasaran eksport melonjak hingga mencecah RM100 sekilogram,” katanya ketika ditemui di kebun durianya di Kampung Pulai, Gua Musang.

Tina Chong berkata, beliau mengikuti pelbagai kursus sama ada di dalam dan luar negara terutama di Thailand bagi mendapat ilmu untuk menghasil durian bermutu tinggi.

Beliau menceburi bidang itu ketika usia 20 tahun dengan memiliki 20 hektar tanah yang diusahakan dengan tanaman durian dan dibantu ahli keluarga serta lima pekerja.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Julai 2018 Via Harian Metro

Pengusaha durian kerugian akibat cuaca panas (Video Tina Chong tahun 2014)