Tengah Bungkus Dadah Dalam Rumah, 4 Lelaki Tergamam Apabila Diserbu Polis

POLIS mematahkan sindiket pembungkusan dan pengedaran dadah antarabangsa yang beroperasi di sebuah pangsapuri di Tampoi di sini, Rabu lalu.

Dalam serbuan kira-kira jam 4 petang itu, polis merampas 23 kilogram dadah pelbagai jenis dan 4,950 biji pil ecstasy bernilai RM540,000.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, serbuan itu adalah hasil risikan polis yang dilakukan sejak beberapa minggu lalu.

Katanya, empat suspek berusia antara 29 hingga 40 tahun turut ditahan ketika membungkus semula dadah yang dipercayai bagi pasaran tempatan dan Indonesia.

“Dalam serbuan berkenaan kesemua suspek dan pelbagai jenis dadah ditemukan di dalam sebuah stor di pangsapuri berkenaan.

“Dadah yang dirampas ialah 16 kilogram ganja, heroin (dua kilogram), syabu (satu kilogram), serbuk ecstasy (tiga kilogram) dan 4,950 pil ecstasy.

“Polis turut merampas dua kenderaan iatu Honda Accord dan Hyundai Starex yang bernilai lebih RM200,000 selain wang tunai berjumlah RM1,600,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Ayob Khan berkata, keempat-empat suspek direman lapan hari mulai Khamis lalu dan disiasat menerusi Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata, menerusi siasatan operasi sindiket pembungkusan dan pengedaran dadah antarabangsa di situ sudah bermula sejak enam bulan lalu.

“Siasatan lanjut juga mendapati tiga daripada suspek mempunyai rekod lampau dadah serta jenayah kekerasan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ayob Khan berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor berjaya menangkap 4,438 suspek atas pelbagai kesalahan dadah sejak 1 Januari hingga Sabtu lalu.

“Dalam tempoh sama, polis berjaya merampas 298 kilogram pelbagai jenis dadah dengan nilai keseluruhan RM5.9 juta selain rampasan harta bernilai RM2.8 juta,” katanya.

Artikel Berkaitan   Dua Individu Ini Dicari Polis Gara-Gara Memuat Naik Gambar Bayi Dan Kanak- Dan Meminta Sumbangan

kredit harian metro