Terima Panggilan Dari “Inspektor Mazlan’, Guru Rugi RM333,000 Sekelip Mata

ALOR SETAR: Seorang guru wanita kerugian RM333,000 selepas terpedaya dengan penipuan panggilan daripada nombor tidak dikenali mendakwa kononnya dia terbabit dengan sindiket pengedaran dadah dan pengubahan wang haram.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Superintendan Elias Omar berkata, guru di sebuah sekolah di Changlun berusia 51 tahun itu menerima panggilan berkenaan pada 26 Jun lalu

Beliau berkata, wanita itu kemudian berhubung dengan individu yang mendakwa pegawai Pos Malaysia mengatakan kononnya dia telah menghantar satu bungkusan mengandungi kad pengenalan serta kad bank miliknya.

“Panggilan kemudian disambung kepada individu lain yang menggelarkan diri sebagai ‘Inspektor Mazlan’ kononnya dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Seremban.

“Seterusnya mangsa disambungkan kepada seorang lelaki yang mendakwa sebagai ‘Inspektor Chong’ menawarkan diri untuk membantunya dalam kes terbabit,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.

Beliau berkata, suspek meminta mangsa membuat bayaran bagi menyelesaikan kes berkenaan pada hari yang sama.

Disebabkan takut, mangsa kemudian membuat 37 transaksi menggunakan empat akaun bank secara berperingkat sebanyak RM333,000 antara 26 Jun hingga 3 Julai lalu.

Bagaimanapun, mangsa sekali lagi menerima panggilan pada 6 Julai lalu daripada seorang lelaki tidak dikenali memaklumkan dia disabitkan kesalahan oleh mahkamah dan memintanya membayar RM100,000 untuk tujuan jaminan.

Elias berkata, mangsa mulai curiga dan menyedari ditipu, menyebabkan dia membuat laporan polis untuk memaklumkan kejadian itu. Beliau berkata, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

kredit astro awani

Artikel Berkaitan   'Saya Saksi, Dia Nak Cium Ayah Dia Tapi Tak Dapat, Batu Itu Saja Yang Dia Dapat Cium'