Terlepas Pandang Seketika, Ibu Warga Asing Meraung Sedih Anak Tiada Lagi Nyawa, Ayah Pula Kaku

SEORANG kanak-kanak lelaki warga asing dipercayai datang ke negeri ini untuk bercuti bersama keluarga maut selepas terjatuh dari tingkat sembilan sebuah hotel dekat Iskandar Puteri, 5 petang hari ini.

Kanak-kanak warga Bahrain berusia lima tahun berkenaan dikatakan cuba menjenguk ke luar tingkap sebelum terjatuh di kawasan taman permainan di tingkat tiga hotel.

Menurut sumber, kejadian berlaku hanya selepas hampir sejam keluarga mangsa mendaftar masuk di hotel berkenaan.

Katanya, ketika kejadian, ibu dan adik lelaki mangsa berusia tiga tahun berada di dalam bilik hotel, manakala bapanya turun ke bawah untuk membeli barang.

Difahamkan, terdapat sofa di tepi tingkap bilik hotel berkenaan dan kanak-kanak itu dipercayai memanjat sofa sebelum membuka tingkap dan menjengah ke bawah.

“Secara kebetulan, bapa kanak-kanak itu menelefon isterinya untuk bertanya barang mahu dibeli, namun isterinya menangis memaklumkan kejadian menyebabkan lelaki berkenaan bergegas pulang ke hotel.

“Orang awam yang menyedari kejadian terus menghubungi polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

“Ya, disahkan. Mayat kanak-kanak itu dihantar ke hospital untuk bedah siasat.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.