Terpaksa Menunaikan Solat Dirumah Orang Gara-Gara Jalankan Tanggungjawab Hantar Makanan, Pemuda Ini Dipuji

KUALA LUMPUR, 4 Jun — Tindakan seorang penghantar makanan menumpang solat di halaman rumah seorang pelanggan menarik perhatian warga maya.

Kebanyakan warga maya memuji tindakan penghantar makanan itu dan pemilik rumah yang membenarkan perbuatan tersebut.

Menerusi perkongsian Aryyaff di Twitter dengan memetik hantaran Facebook Regiment Askar Siber Melayu, kisah itu dialami oleh individu bernama Nor Hoda Tarseh ketika baru pulang dari kerja.

Nor Hoda mengakui terharu dengan tindakan penghantar makanan tersebut yang tetap patuh kepada ajaran agama walau sibuk bekerja.

“Uncle balik kerja, tengok-tengok ada orang solat di koridor rumah. Lepas solat orang itu kata, maaf bang saya dah lewat, saya bagi salam tapi tak ada orang. Tapi saya nampak ada paip air jadi saya pun ambil wuduk dan solat. Saya nampak lantai ini bersih dan ada ayat Qursi di pintu, jadi saya solatlah,” katanya yang menceritakan semula kejadian tersebut.

Melihatkan kejujuran penghantar makanan berkenaan, Nor Huda lantas mengizinkan tindakan pemuda itu yang menunaikan solat di halaman rumahnya.

 

Sementara itu, kebanyakan warga maya memuji akhlak ditonjolkan penghantar makanan tersebut yang tidak melupakan solat walau sibuk mencari rezeki.

Pricess Rose: “Mengharap sangat masjid atau surau macam dekat pam minyak cepat buka sebab susah kalau orang yang kerja luar pejabat ini. Lagi-lagi perempuan.”

Khyrulmars: “Kau tengok budak-budak baru habis sekolah yang tak fokus masa depan lagi memanglah nampak malas kerja, berhenti kerja sebab tak ada komitmen. Cuba tengok yang betul-betul berusaha cari rezeki walaupun ada diploma atau ijazah tapi masih buat kerja dari bawah sebab sedar sekarang bukan senang cari duit.”

kredit projekmm