Terpelanting Anggota Polis Dilanggar Lelaki Penagih Dadah, Lalu Bertindak Meninggalkan Isteri

Dua anggota polis berpangkat koperal dilanggar seorang pekerja kilang lelaki dipercayai di bawah pengaruh dadah dalam sekatan jalan raya di Persiaran Kuala Selangor Seksyen 15 di sini pagi tadi.

Dalam kejadian pukul 10.45 pagi itu, kedua-dua anggota itu yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Trafik Shah Alam dikenali Hasnol, 55, parah di seluruh badan manakala rakannya, Ahmad Haizaki, 35, cedera di bahagian kaki kiri.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata kejadian berlaku ketika kedua-dua mangsa bersama 17 lagi anggota termasuk pegawai baharu 15 minit melakukan sekatan jalan raya di kawasan tersebut.

Katanya, sebuah kenderaan jenis Proton Gen 2 dinaiki suspek dan isterinya berusia 22 tahun didapati telah memotong barisan sebelum memecut laju dan melanggar Hasnol.

“Tindakan itu mengakibatkan anggota itu tercampak beberapa meter dan parah di seluruh badan.

“Beberapa anggota kemudiannya mengejar kenderaan dipandu suspek itu sebelum Ahmad Haizaki turut dilanggar semasa cuba menahan kenderaan tersebut,” katanya ketika ditemui di Hospital Shah Alam di sini hari ini.

Menurut beliau, selepas mengejar sejauh tiga kilometer kenderaan suspek akhirnya berjaya ditahan di Bulatan Andalas Seksyen 18.

Ujar Baharudin,  suspek kemudiannya cuba melarikan diri sejauh 50 meter sebelum diberkas dengan dengan meninggalkan isterinya yang sarat mengandungi tujuh bulan di dalam kenderaan tersebut.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku di bawah pengaruh dadah jenis syabu.

“Suspek juga didapati tidak mempunyai lesen memandu selain mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan curi kenderaan,” katanya.

Jelas beliau, kes kini disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Akta Dadah 1952

(Visited 612 times, 1 visits today)