Tersebar Gambar Bermesra Dengan Azmin Ali, Menteri Besar Selangor Ingatkan Jangan Politikkan

KUALA LUMPUR, 30 Jun — Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari mengingatkan pihak tertentu agar tidak mempolitikkan pertemuannya bersama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Jelasnya, pertemuan tersebut tidak lain hanya atas urusan kerja membabitkan kerjasama di antara kerajaan Persekutuan dan negeri.

“Jangan spin (spekulasi) banyak sangat, ini urusan kerajaan negeri-Persekutuan yang berasas semangat profesional,” katanya di Twitter.

Kenyataan Amirudin di media sosial itu adalah bagi menjawab hantaran oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Jaya Dr Afif Bahardin.

Afif memuat naik sebuah foto menunjukkan Amirudin dan Mohamed Azmin berada dalam keadaan mesra berserta kapsyen ‘sireh pulang gagang.’

Semalam, Azmin mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) di Shah Alam.

Mesyuarat yang turut dihadiri Amirudin adalah bagi membincangkan pembangunan negeri Selangor melibatkan kerjasama di antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

kredit projekmm