Tiada Pendidikan Formal, Lelaki Ini Jana Keuntungan Berjuta Ringgit Hanya Jual Belut

KEMEROSOTAN permintaan ikan keli di pasaran ekoran persaingan sengit memberi idea kepada seorang penternak, Zakaria Harun, 65, untuk berubah dan menjadikan belut sebagai ternakan utama.

Zakaria yang pernah bekerja dalam bidang pengurusan dengan syarikat minyak dan gas berkata, pada awalnya beliau mengusahakan pusat penternakan ikan keli dengan modal permulaan RM300,000 dan pernah mengeluarkan 17 tan metrik ikan keli sebulan pada 2012.

Bagaimanapun, permintaan keli semakin merosot akibat saingan harga yang tidak kompetitif di pasaran membuatnya nekad beralih kepada penternakan belut kerana mempunyai potensi besar di pasaran dunia berikutan permintaan tinggi untuk dijadikan makanan, ubat-ubatan dan kosmetik di beberapa negara seperti Korea dan Jepun.

Lazimnya, belut yang dijual di pasaran tempatan adalah belut liar yang ditangkap di persekitaran paya, sawah atau kawasan berlumpur namun jumlah itu masih tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan pasaran terutama di restoran yang menjadikan haiwan itu sebagai sajian utamanya.

ZAKARIA menunjukkan ternakan belut di dalam kolam untuk tujuan pembiakan.

Tanpa pendidikan formal dalam bidang akuakultur, Zakaria sanggup melakukan kajian sendiri secara trial and error (cuba dan silap) selama kira-kira lapan tahun untuk menghasilkan benih belut bagi tujuan ternakan secara komersial dalam skala besar.

“Ketika menternak keli, saya mempunyai 121 kolam takungan berukuran 10 dan 20 kaki. Jadi saya gunakan kolam sama untuk membuat kajian bagi menghasilkan benih belut sendiri.

“Saya membeli sembilan pasang belut untuk dijadikan induk pada 2012 dengan berat keseluruhan enam kilogram dengan kos RM132 dan sejak 2016 saya menghasilkan 300 kilogram belut untuk dijual di pasaran tempatan,” katanya di pusat ternakan belutnya di Kampung Kubang Puyu dekat Langkap di sini.

Zakaria berkata, kajian yang dilakukannya merangkumi pelbagai aspek seperti kualiti air, jenis tanah, makanan menggunakan formulasi sendiri serta teknik pembiakan yang berkesan untuk mendapatkan belut yang bersaiz besar, berisi pejal dan bebas daripada penyakit.

“Kejayaan saya menghasilkan benih belut itu akhirnya ‘membuka mata’ banyak pihak yang mula berkunjung ke pusat ternakan belut saya untuk mengikuti kursus intensif mengenai teknik yang betul untuk mengusahakannya secara komersial.

“Antara yang datang untuk berkursus di sini ialah pelajar Diploma Akuakultur Politeknik Jeli, Kelantan, pelajar dan pensyarah dari Universiti Malaysia Terengganu, Universiti Malaysia Kelantan dan Universiti Sains Malaysia serta individu yang mahu memulakan penternakan belut,” katanya.

Lebih menarik, formulasi makanan ikan yang dihasilkan Zakaria turut menerima sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Ketika ini, Zakaria menjual belut pada harga RM25 sekilogram untuk belut bersaiz bawah 300 gram, RM30 sekilogram untuk belut bersaiz 300 gram ke 500 gram dan RM40 untuk belut bersaiz 500 gram ke atas.

Kejayaan beliau dalam mengusahakan belut secara komersial turut menarik perhatian sebuah syarikat pelabur dari Kuala Lumpur yang ingin mengusahakan ternakan itu seluas 20 hektar di Sungai Tong di sini dengan sasaran 3,600 kolam takungan belut.

“Projek ternakan belut berskala besar itu dijangka siap sepenuhnya pada 2021 dan mampu menjadi satu lagi tarikan akua pelancongan di Terengganu,” katanya yang turut mendapat sokongan Jabatan Perikanan dalam mengusahakan ternakan belut itu.