Tidak Cukup Memohon Maaf, Ketua Pemuda Umno Minta Penghina Jata Negara Dihukum

KUALA LUMPUR, 30 Jun — Pergerakan Pemuda Umno menolak permohonan maaf penerbit buku kontroversi yang didakwa menghina Jata Negara.

Ketua sayap Pemuda Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tindakan dilakukan adalah keterlaluan sehingga menghina Jata Negara yang menjadi lambang kedaulatan negara.

“Kami membaca kenyataan pengarah dan pengasas Gerakbudaya Chong Ton Sin pagi ini bahawa pihaknya tiada niat untuk menghina Jata Negara.

“Tidak semudah itu lafaz maaf boleh diterima setelah penghinaan terhadap lambang kedaulatan negara diperlakukan sebegitu rupa.

“Harus diingat martabat dan maruah negara tidak sesekali boleh diperlekehkan sewenang-wenangnya,” katanya di Facebook.

Hari ini, Chong memohon maaf di atas penerbitan buku ‘Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia’ yang dikatakan menghina Jata Negara, lapor Malaysiakini.

Rata-rata menyifatkan grafik pada muka depan buku berkenaan yang seakan-akan Jata Negara adalah suatu yang tidak wajar.

Terdahulu, Asyraf berharap pihak berkuasa mengambil tindakan tegas kepada syarikat penerbit buku terbabit agar menjadi pengajaran kepada semua pihak.

“Bahkan undang-undang jelas memperuntukkan Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama Pindaan 2016 yang mengenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun dan denda sehingga RM 20,000 bagi kesalahan penggunaan lambang negara termasuk jata negara secara tidak wajar.

“Prinsip Undang-undang ada menyebut ‘Ignorantia Juris Non Excusat’ bermaksud kejahilan terhadap undang-undang bukan suatu alasan,” katanya lagi.

kredit projekmm