Pertanian sebagai perniagaan, jana pendapatan
BIDANG pertanian memang terkenal dengan kemampuannya dapat membantu menjana pendapatan seseorang individu itu. Bidang ini harus diteruskan dan dimajukan untuk memenuhi keperluan makanan seharian masyarakat sejagat.
Ramai yang bertanya kenapa memilih bidang ini untuk diusahakan sebagai perniagaan. Sememangnya keluarga sendiri sudah pun mempunyai pengalaman dalam menguruskan hasil pertanian. Tidak menjadi masalah kepada saya walaupun bukan daripada bidang pertanian tetapi saya masih mempunyai beberapa pengalaman daripada keluarga sendiri membantu mereka menguruskan perniagaan secara kecil-kecilan menjual sayur-sayuran.
Pertumbuhan pertanian dalam ekonomi Malaysia yang semakin pesat ini memberikan saya idea untuk mengembangkan lagi usaha kecil keluarga saya sebelum ini. Kini saya telah pun mengusahakan beberapa tanaman seperti rock melon, cili kulai dan menternak lebah membekalkan madu kelulut.
Saya berpendapat bidang pertanian ini mempunyai peluang yang besar untuk diusahakan dan mampu berdaya saing pada masa hadapan. Ia sejajar dengan Dasar Agromakanan Negara (DAN) menjamin bekalan makanan yang mencukupi dan selamat dimakan, menjadikan industri agromakanan sebagai industri yang berdaya saing dan mampan serta meningkatkan tahap pendapatan usahawan tani.
Selain itu, saya turut mengusahakan beberapa tanaman dan madu kelulut saya ini selama hampir empat tahun bersama adik-beradik. Malah, saya juga berhasrat memberikan peluang pekerjaan kepada anak muda yang lain apabila perniagaan saya sudah semakin membesar kelak.
Antara petua yang saya boleh kongsikan kepada anak muda yang lain jika ingin menceburi bidang pertanian ialah:
Berdepan risiko
Jangkaan masa yang panjang diperlukan untuk mendapatkan pulangan modal kerana tanaman akan mengeluarkan hasil pada waktu tertentu, contohnya rock melon mengeluarkan hasil dalam masa 60 hari dan cili pula memerlukan 90 hingga 100 hari. Seseorang itu perlu sabar sekiranya ingin menceburi bidang pertanian. Namun, ia pasti menjadi suatu kepuasan apabila hasil yang dinantikan pada hari menuai dan dapat dijual pada harga lumayan.
Pengurusan kewangan
Besar kemungkinan semasa menguruskan ladang, tanaman akan diserang dengan penyakit atau pun perosak. Kos-kos untuk menyelesaikan masalah seperti ini harus diambil kira supaya semasa pengiraan untuk menjual tidak mengalami sebarang kerugian. Hal-hal kewangan amat penting diuruskan dengan baik jika ingin mendapat pulangan ataupun tidak mahu mengalami sebarang kerugian di luar jangkaan. Bidang pertanian memerlukan pengurusan kewangan yang baik melibatkan pengurusan sebelum memulakan perniagaan, kos semasa dan kos selepas untuk menuai hasil dan menjual di pasaran.
Bijak gunakan peluang
Seseorang individu itu haruslah berani mengambil risiko untuk berjaya. Setiap perniagaan yang diusahakan itu pasti ada pasang surutnya. Untuk berjaya anda haruslah keluar daripada zon selesa dan cabar diri untuk meningkatkan prestasi setiap masa. Peluang-peluang perniagaan sentiasa ada di depan mata, kita hanya perlu bijak mencuri peluang tersebut untuk dijadikan sebagai suatu perniagaan.
Terima teguran, nasihat
Jangan sombong menerima teguran atau nasihat daripada mereka yang mengkritik kerja kita. Sifat yang sombong itu hanya akan memakan diri seseorang dan seharusnya berfikiran terbuka jika ingin terus melangkah hebat.
Seseorang yang ingin berjaya perlu rajin bertanya dan rajin berkongsi idea-idea serta ilmu-ilmu daripada mereka yang lebih pakar dalam sesuatu bidang itu. Hal ini penting kerana ia dapat mengurangkan kos-kos kerugian ketika mengambil sebarang risiko semasa membuat keputusan yang sukar.
Sentiasa jujur, ikhlas
Paling utama pada diri peniaga ialah sentiasa jujur dan ikhlas dalam menguruskan perniagaan kerana pengurusan adalah daripada diri kita sendiri sebagai pengurus syarikat. Jika kita sendiri tidak berlaku jujur ke atas syarikat sendiri bagaimana orang yang membeli menilai prestasi perniagaan kita? Sudah pasti mereka beranggapan perniagaan kita adalah suatu penipuan dan tiada kemajuan sehingga mengakibatkan pelanggan lari mencari pembekal yang lebih baik.
Akhir kata daripada saya, berpegang dengan kata-kata daripada seorang guru sekolah “Hidup Menang, Mati syurga” yang membawa maksud kejarlah kejayaan di dunia yang mampu membawa kita berjaya di akhirat juga, Insyallah.
SHAUQI SAMAH adalah Pelajar Tahun 4 Bacelor Sains Kepujian Kimia Industri, Universiti Putra Malaysia
Artikel dari: http://www.utusan.com.my