Tok Ti Tercedera Apabila Jatuh Daripada Basikal Yang Ditungganginya.

Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin mengalami kecederaan pada bahagian lututnya apabila terlibat kemalangan kecil dalam pertandingan berbasikal RHB Cycling Ride 2019 pada malam tadi.

Menerusi kemas kini laman Instagramnya, pelantun Kasihku Selamanya itu memberitahu, dia sanggup menahan kesakitan akibat kecederaan demi menamatkan perlumbaan untuk anaknya, Siti Aafiyah Datuk Seri Khalid.

“Habis koyak seluar baharu dan lutut akibat terjatuh, tetapi saya teruskan juga kayuhan hingga ke garisan penamat.

“Alhamdulillah, saya berjaya dapatkan pingat kedua buat Aafiyah. Terima kasih buat pasukan #ctdkteam kerana memberi banyak sokongan sepanjang perlumbaan ini,” tulisnya lagi.

Siti yang terkenal dengan hobi berbasikal telah menamatkan kayuhan sejauh 78 kilometer bagi pertandingan anjuran RHB Bank itu. – K! ONLINE