Tolak Motor Dalam Hujan, Abang GrabFood Terharu Pemandu Wanita Belikan Petrol

Dalam kita bekerja dari rumah ekoran Perintah Kawalan Pergerakan namun masih terdapat individu terpenting di luar yang berkhidmat seperti doktor, anggota polis, penghantar makanan dan ramai lagi.

Kita tak nampak pengorbanan dan kerja keras yang mereka tempuhi serta risiko dihadapi setiap hari tetapi alhamdulillah, masih terdapat rakyat Malaysia yang baik hati membantu mereka.

Seorang wanita dari Puchong berkongsi kisah dimana dia terjumpa dengan penghantar makanan di Cyberjaya sedang menolak motosikal dalam hujan.

Chong Ching Yen memberhentikan keretanya kerana dia seakan mengetahui bahawa motosikal lelaki terbabit telah kehabisan minyak sebelum menawar diri untuk membantu.

Yen memandu ke stesen minyak yang berdekatan lalu membeli sebotol air, minum separuh air itu dan membuang selebihnya sebelum mengisi dengan petrol.

Dia memberi petrol dan berdiri di sebelah sambil melindungi lelaki tersebut dengan payung daripada terkena hujan semasa sedang mengisi minyak.

Sebelum Yen beredar, lelaki itu menghulurkan wang RM10 kepadanya namun dia menolak dengan mengatakan bahawa dia tidak boleh menerima duit tersebut.

Pemandu GrabFood tersebut berterima kasih kepadanya namun Yen membalas dengan mengatakan “bukan kerja yang mudah apabila menjadi penghantar makanan. Terima kasih.”

Selepas Yen masuk ke dalam kereta, lelaki itu pandang kepadanya lalu mengangkat tangan dan tersenyum sambil mengucapkan terima kasih lagi sekali.

Sumber: Chong Ching Yen