“Tolong Jangan Hina Isteri Saya, Dia Masih Dalam Proses Pemulihan, Jangan Bagi Komen Macam-Macam”

PELAKON Nadzmi Adhwa mendedahkan isterinya yang juga pelakon Ardell Aryana menghidap kebimbangan melampau dan kemurungan teruk serta masih dalam rawatan pemulihan.

Nadzmi menerusi di Instagram turut memohon supaya netizen menghentikan kata-kata negatif dan spekulasi mengenai video pernikahannya yang tular baru-baru ini.

Dalam video upacara menyarung cincin dan membatalkan air sembahyang selepas majlis pernikahan mereka pada 1 September lalu, pasangan itu kelihatan gugup dan tangan Ardell juga menggeletar.

Rata-rata netizen mendakwa Nadzmi dan Ardell hanya ‘berlakon’. Ini kerana tidak ada apa yang perlu dimalukan kerana kerap bertemu serta memuat naik video mereka berdua di Instagram.

Nadzmi berkata, isterinya boleh mengalami kebimbangan melampau pada bila-bila masa.

“Bukan saja pada hari pernikahan kami, tetapi sebelum ini juga. Apabila terlalu ramai orang di hadapannya, isteri saya terlalu terkejut hingga menyebabkan ‘panic attack’.

“Saya serta keluarga sedaya-upaya cuba naikkan semangat Ardell. Kami berjaya menempuh pelbagai dugaan hingga ke detik bahagia ini. Kami cuma manusia biasa yang ada hati.

“Sebagai suami, tolong jaga hati isteri saya dan jangan gelar isteri saya minah gigil, perempuan parkinson dan perempuan cacat. Saya tidak kisah jika ada yang buat parodi saya dan isteri untuk menjadi bahan gelak tawa, cuma jangan hina isteri saya,” katanya.

Nadzmi berkata, selama berkawan, mereka kerap berjumpa kerana bekerjasama dalam bidang rekaan pakaian dan jahitan.

“Perasaan berkawan dan bergelar suami isteri itu jauh berbeza. Pada hari pernikahan, kami memang sangat janggal di hadapan ramai orang untuk upacara menyarung cincin dan membatal air sembahyang. Kami gugup berhadapan ramai orang.

“Semua perasaan lega, takut, gembira dan sedih bergabung menyebabkan kami menggigil untuk memasuki fasa baru dalam hidup kami,” katanya yang menikahi Ardell selepas lapan tahun berkenalan.

(Visited 454 times, 1 visits today)