“Tolonglah Buat Sesuatu, Sampai Bila Kami Nak Hidup Macam Ni, Rasa Macam Duduk Dalam Pulau Je”

ALOR GAJAH 07 JULAI 2019. Penduduk mengangkat barang untuk dialihkan di tempat yang selamat ketika tinjauan rumah yang ditenggelami air akibat banjir di kawasan Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal. NSTP/RASUL AZLI SAMAD

“KAMI harap kerajaan negeri dapat mempercepatkan proses pemindahan kami ke rumah baharu yang sudah lama tertangguh sekali gus menamatkan penderitaan kami ini,” kata Aslina Ramli, 50.


Penduduk di Kampung Belimbing Dalam, DurianTunggal, itu adalah antara 50 mangsa banjir daripada 10 keluarga yang terjejas dalam kejadian banjir kilat di daerah ini sejak awal pagi semalam.

Menurut pekerja kilang itu, penduduk sudah tidak tahan berdepan dengan masalah banjir yang berlaku sejak berbelas tahun lalu setiap kali hujan lebat sehingga rumah ditenggelami air antara 1.5 hingga tiga meter.

“Semasa pemerintahan kerajaan sebelum ini, kami ada menandatangani borang di pejabat tanah untuk urusan pemindahan ke rumah baharu dari rumah sedia ada di atas tanah rizab kereta api ini.

“Namun sehingga kini, tiada perkembangan lanjut dan kami harap kerajaan negeri khususnya wakil rakyat dapat segera menyelesaikan masalah ini,” katanya.

ALOR GAJAH 07 JULAI 2019. Keadaan jalan yang ditenggelami air akibat banjir di kawasan Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal. NSTP/RASUL AZLI SAMAD

Tinjauan Harian Metro mendapati walaupun cuaca cerah, penduduk masih sibuk memindahkan perabot dan peralatan ke kawasan yang lebih tinggi bagi mengelakkannya ditenggelami banjir.

ALOR GAJAH 07 JULAI 2019. Penduduk mengangkat barang untuk dialihkan di tempat yang selamat ketika tinjauan rumah yang ditenggelami air akibat banjir di kawasan Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal. NSTP/RASUL AZLI SAMAD
ALOR GAJAH 07 JULAI 2019. Penduduk mengangkat barang untuk dialihkan di tempat yang selamat ketika tinjauan rumah yang ditenggelami air akibat banjir di kawasan Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal. NSTP/RASUL AZLI SAMAD

PENDUDUK terpaksa berpatah balik selepas jalan dinaiki air.

PENDUDUK mengangkat barang untuk dialihkan di tempat yang selamat selepas rumah ditenggelami air di kawasan Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal.

Kunjungan semula wartawan dan jurugambar ke Kampung Belimbing Dalam pada jam 1 tengah hari juga mendapati situasi banjir semakin buruk apabila kampung berkenaan sudah menjadi ‘pulau’ kerana dikelilingi air menyebabkan ia tidak dapat dilalui kenderaan.

Seorang lagi mangsa banjir, Ahmad Amat, 50, berkata, dalam kejadian terbaharu semalam, rumahnya mula dinaiki air sejak jam 9 pagi dan air semakin meningkat hampir ke paras dua meter walaupun cuaca cerah.

“Air dari empangan mulai turun dari Alor Gajah ke Durian Tunggal menyebabkan kampung kami semakin dinaiki air walaupun hujan berhenti.

“Mujurlah tidak begitu banyak kerosakan harta benda kerana kami telah bersedia dengan bencana ini yang berlaku setiap tahun,” katanya.