Tun Mahathir Calonkan Datuk Seri Mohd Shafie Bakal Calon Perdana Menteri Malaysia Ke 9?

KOTA KINABALU: Di kala kebuntuan Pakatan Harapan (PH) Plus mencapai persetujuan berkenaan calon perdana menteri, nama ketua menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kini muncul menjadi salah seorang calon bagi memegang jawatan tertinggi negara itu.

Difahamkan, Shafie disebut sebagai salah seorang calon selain Tun Dr Mahathir Mohamad dan presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pencalonan Shafie juga dipercayai telah disokong oleh Mahathir sendiri dalam satu pertemuan dengan ahli-ahli bersatu, baru-baru ini.

Video pertemuan itu juga tular di media sosial sejak semalam dengan Mahathir dalam video berkenaan menyatakan beliau bersama beberapa bekas pemimpin Bersatu, Amanah dan DAP telah bersetuju agar Shafie dicalonkan.

“Adalah kumpulan yang terdiri daripada wakil, Warisan, wakil dari Bersatu wakil daripada Amanah wakil daripada DAP pun ada, kita empat parti ini bersetuju, jadi ini persetujuaan saya juga.

“Jadi saya harap, sokongan kepada saya ini dibuat melalui sokongan pasal saya yang namakan dia, bukanlah saya seorang, yang lain pun bagi nama yang sama, jadi saya harap akar umbi akan terima pencalonan ini.

“Fikirkan, kalau saya tak ada. Ada orang lain. takkan saya nak ada selama-lamanya, jadi adalah lebih baik kita pindah supaya kita boleh tentukan orang yang ambil alih ini meneruskan perjuangan kita, itulah harapan kita sebab itu saya nak supaya kita sokong Shafie Apdal, kerana dia dan saya sependapat,” kata Mahathir.

Menguatkanh lagi spekulasi itu, beberapa pemimpin Parti Warisan Sabah (Warisan) secara terbuka telah membangkitkan idea perdana menteri pertama dari Sabah atau Sarawak untuk mentadbir negara.

Naib Presiden Warisan, Datuk Junz Wong dalam satu hantarannya di Facebook berkata, Sabah dan Sarawak adalah rakan setaraf dalam pembentukan Malaysia dan tidak kurang berbanding semenanjung.

Artikel Berkaitan   Nak Masuk Ke Rumah Baru, Jangan Abaikan 5 Perkara Ni, Suami Wajib Buat

“Kami bukan kelas kedua (tetapi) di tahap yang sama.

“Aspirasi untuk melihat orang dari Sabah atau Sarawak memimpin negara sebagai perdana menteri pada masa depan bukanlah suatu yang mustahil,” katanya.

Walaupun tidak menyatakan sebarang nama, Junz bagaimanapun menyertakan gambar Shafie dalam hantarannya itu.

Beberapa jam kemudian, Timbalan Presiden Warisan, Datuk Darell Leiking membuat hantaran yang hampir senada.

“Ramai mungkin tak bersetuju atas sebab masing-masing tetapi sebagai seorang yang sudah lama menjangkakan untuk membetulkan Persekutuan Malaysia, sesiapa yang diterima persekutuan dan datang daripada Borneo juga boleh memimpin persekutuan sebagai perdana menteri.

“Mengapa tidak, bukan? Sudah 57 tahun,” katanya merujuk tempoh masa Sabah berada dalam persekutuan Malaysia.- BeritaSabah

kredit sabah post