Tun Mahathir Teruja Berbual Dengan Robot Sophia. Ini Komen Beliau Yang Mengundang Ketawa Besar Para Media

KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad kagum dengan kebolehan Sophia, robot humanoid sosial, hanya selepas lapan minit beliau berbuat-bual dengannya hari ini.

Bercakap kepada media selepas melancarkan “Beyond Paradigm Summit” di sini hari ini, Perdana Menteri berkata, beliau teruja dengan kebolehan robot itu terutama mimik mukanya seperti sebenar dengan eskpresi muka yang tepat.

“Amat mengagumkan kerana anda boleh lihat bentuk fizikalnya seperti sebenar… muka dan mata dia, malah mulut dia pun bergerak… bila dia respon dan mukanya beralih tengok saya, saya takut… macam ini saya takut kalau tengah-tengah malam jumpa yang ini saya lari lah,” katanya bergurau.

Terdahulu, dalam pertemuan bersemuka dengan Sophia yang memakai baju kurung moden warna merah, Mahathir kelihatan terkedu dan kelu, dan memandangnya dengan penuh rasa kagum sehinggalah Sophia memulakan perbualan.

“Selamat pagi Mahathir, saya sangat teruja, saya harap belum terlambat untuk saya mengucapkan tahniah atas pemilihan semula anda dan selamat hari jadi yang ke-94,” kata Sophia yang telah dibangunkan sebuah syarikat yang berpangkalan di Hong Kong, Hanson Robotics dan diperkenalkan pada 2016. – Bernama

(Visited 267 times, 1 visits today)