Usung Barang Guna Kain, DBKL Rempuh Kawasan “Sarang Bunjut”

PERANG terhadap peniaga warga asing diteruskan apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut menyerbu sarang ‘penjaja bunjut’ yang dikesan aktif berniaga di pusat ibu kota.

Kumpulan peniaga membabitkan warga Indonesia dan Myanmar ini dikesan kerap membawa barang niaga yang diisi di dalam kain sarung sebelum diikat menyerupai bunjut bagi memudahkan pergerakan.

Dalam operasi bermula jam 7 pagi semalam, petugas penguat kuasa DBKL mengambil tindakan terhadap peniaga bunjut di Jalan Sultan (Pasar Karat), Jalan Silang dan JalanTun Tan Cheng Lock di sini.

“Seramai enam anggota petugas melakukan serbuan sebelum lapan tindakan sitaan dilakukan mengikut peruntukan Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja dan Gerai (WPKL) 2016.

“Barangan milik penjaja bunjut bukan warganegara ini membabitkan barangan keperluan harian dan kosmetik disita manakala operasi perniagaan diarah tutup serta merta.

“Semua barangan yang disita dibawa ke stor sitaan DBKL di Jalan Lombong, Cheras,” katanya.

Sementara itu, dalam operasi berasingan, DBKL turut mengambil tindakan terhadap golongan peniaga pengotor yang tidak menitik beratkan aspek kebersihan di lokasi perniagaan.

Operasi dilakukan anggota Bahagian Alam Sekitar, Jabatan Kesihatan & Alam Sekitar DBKL di sekitar Lake Fields, Bandar Tun Razak di sini.

Sebanyak 26 kompaun dikeluarkan atas kesalahan meletak dan membuang objek sampah, bangkai haiwan dan tong di tempat awam.

Tindakan itu menyebabkan jalan awam dan siar kaki hadapan premis terhalang dan dicemari kotoran.

kredit harian metro