Video Kes Ayam Di Tesco Tak Disembelih, Hanya Dilemaskan Untuk Bukan Islam Sahaja – Jais

Video Ayam di Tesco Setia Alam tak disembelih


Isu ayam tidak sembelih, ini jawapan Tesco

TULAR rakaman video berdurasi 46 saat mendakwa ayam segar yang dijual oleh rangkaian pasaraya terkemuka Tesco tidak halal kerana tidak disembelih.

Reaksi netizen turut mengecam tindakan pasaraya itu yang didakwa tidak mematuhi sijil halal yang sah dikeluarkan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Susulan dakwaan itu, pihak pengurusan Tecso melalui satu kenyataan media di Facebook miliknya tampil memberi penjelasan sekaligus menafikan dakwaan yang tersebar di media sosial tersebut.

Pihaknya memberitahu, sentiasa mematuhi segala kawalan kualiti dan standard produk yang amat ketat dan memandang serius dakwaan tersebut.

Bagi memastikan produk yang dijual kepada pelanggan adalah halal, mematuhi undang-undang, selamat dimakan dan berkualiti, semua rumah sembelihan yang membekalkan ayam segar dan produk ayam kepada Tesco akan melalui proses pemeriksaan dan pengesahan berdasarkan piawaian Tesco (Tesco Standard).

Jelasnya,semua pembekal ayam perlu mempunyai sijil Halal yang sah dari Jakim/Jaim, selain perlu mematuhi amalan kebersihan dan amalan pengilangan baik (GMP) yang ketat.

Selain itu, pihaknya turut menyatakan, audit dalaman merangkumi aktiviti pemantauan dijalankan di rumah sembelihan untuk memastikan keseluruhan proses penyembelihan, pemprosesan, penyimpanan dan penghantaran adalah mengikuti piawaian yang telah ditetapkan.

Malah sekiranya pelanggan ingin mendapatkan maklumat lanjut berkenaan isu ini boleh hubungi talian khidmat pelanggan kami di 1300 13 1313.

Ayam dilemaskan hanya untuk bukan Islam: Jais

KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengesahkan ayam hidup yang dilemaskan seperti yang tular dalam laman sosial baru-baru ini dijual kepada pelanggan bukan Islam sahaja.

Dalam kenyataan dikeluarkan jabatan itu, penguatkuasa Jais telah melakukan operasi bersepadu di salah sebuah pasar di Rawang minggu ini dan mendapati peniaga telah meletakkan tanda tidak halal bagi mengelakkan kekeliruan.

Menurut kenyataan itu lagi, pertikaian status halal ayam sembelihan yang dijual di sebuah pasaraya besar di Melaka pula berlaku disebabkan salah faham berkenaan kesan ‘head puller’ terhadap ayam sembelihan.

“Kaedah itu menampakkan seolah-olah ayam tidak disembelih mengikut hukum syarak. Salah faham ini juga berlaku disebabkan kurangnya kefahaman berkenaan realiti pemprosesan ayam.

“Sekarang ia banyak menggunakan pelbagai fasiliti moden. Sudah pasti pemprosesannya berbeza dengan pengeluaran berskala kecil,” kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu lagi, pasaraya tersebut juga turut mengeluarkan kenyataan dan penjelasan berhubung isu status halal ayam sembelihan yang dijual di pasaraya tersebut.

“Justeru, masyarakat dinasihatkan agar berhati-hati dalam menyebarkan sesuatu info halal yang tidak diketahui status kebenarannya dengan merujuk pihak berautoriti agar tidak terjebak ke dalam dosa fitnah dan salah faham sesama ummah.

“Sebarang kemusykilan berkenaan isu-isu halal yang tular boleh ikuti penjelasan lanjut di Facebook Bahagian Hab Halal, Jais,” ujarnya.

Untuk mengetahui status halal rumah sembelihan ayam yang mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia, orang awam boleh layari direktori halal di www.halal.gov.my atau di aplikasi telefon pintar SmartHalal dan Verify Halal – Sinar Harian