Viral!! Keluarga Campuran Muslim Dan Non Muslim Ini Meraikan Lebaran Dalam Suasana Yang Unik.

Tradisi kunjung-mengunjung dalam kalangan ahli keluarga Tan Chiu Chai ke rumah adiknya yang memeluk Islam diteruskan setiap kali sambutan Hari Raya Aidilfitri.


Chiu Chai, 72, berkata, dia dan  sembilan ahli keluarga lain bersama 100 cucu cicitnya tidak pernah lupa untuk bertandang ke rumah adiknya, Kiah Bachik, 62, di Kampung Kelongkong Batu Enam, Tanjung Kling di sini.

Katanya, walaupun berlainan agama, dia tetap sayang dan ingat kepada darah dagingnya sendiri.

“Setiap tahun kami akan datang ke rumah adik untuk beraya. Adik juga akan pergi ke rumah kami pada Tahun Baru Cina.

“Adik peluk Islam sejak lahir apabila dia diberi kepada keluarga angkat pasangan Melayu yang tidak mempunyai anak di Kampung Pantai Tanah Merah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, Kiah berkata, dia terharu kerana adik beradiknya tidak lupakan dirinya walaupun berlainan agama.

“Saya amat gembira diziarahi oleh sanak saudara terutama keluarga Cina saya. Saya harap tradisi ini akan diteruskan oleh anak cucu pula,” katanya yang terpaksa berkerusi roda ekoran patah kaki kiri akibat terjatuh bilik air November lalu.

Dalam pada itu, anak saudara Kiah, Wang Lock Hui, 50, berkata, dia sanggup datang dari Taman Seri Gombak di Gombak semata-mata hendak menziarahi makciknya.

“Kami semua akan berkumpul di rumah makcik pada hari raya pertama bagi meraikan dia,” kata guru bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan Hulu Kelang itu. – K! ONLINE

Chiu chai (kiri) berbual dengan Kiah ketika menziarahi adiknya di rumahnya di Kampung Kelongkong Batu Enam, Tanjung Kling hari ini