Viral Pelanggaran Beramai-Ramai , Pemandu Warga Emas Terperangkap, Rupanya Ini Punca Lori Tersebut Melanggar Semua Kereta

KAJANG – Masalah brek sebuah lori simen menjadi punca kemalangan melibatkan sembilan kenderaan di KM32 Jalan KL – Seremban di sini pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shariat berkata, ketika kejadian jam 11 pagi itu, lori jenis Nissan berkenaan sedang dipandu dari arah Bandar Rinching menghala ke Broga

Menurutnya, pemandu lori yang berusia 30-an itu mula mengesan brek kenderaan itu tidak berfungsi ketika sedang menuruni jalan berbukit.

“Pemandu lori berkenaan kemudiannya mengubah haluan ke kanan bagi mengelak melanggar kenderaan di hadapannya.

“Bagaimanapun lori itu melanggar pembahagi jalan dan masuk ke jalan bertentangan sebelum melanggar sebuah Proton Wira dan menyeret kereta itu sehingga melanggar tujuh kenderaan yang lain,” katanya.

Katanya, lori tersebut ditahan di Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang untuk pemeriksaan Puspakom.

“Laporan polis telah dibuat dan kes disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987. Tiada mangsa yang cedera dalam kejadian itu,” katanya.

Terdahulu, kejadian tersebut tular di Facebook selepas netizen berkongsi video berdurasi 1 minit memaparkan keadaan beberapa kenderaan yang remuk akibat dilanggar lori terbabit.

Kelihatan juga seorang pemandu warga emas terperangkap dalam sebuah kereta Proton Wira yang remuk dan dihimpit dua lori di bahagian depan dan belakang