“Wah Ni Mesti Kena Pergi!” Ciptaan Unik Gulungan Jerami Jadi Tarikan Orang Ramai Di Yan Kedah!

Sesuatu yang unik dengan pemandangan seakan berada di luar negara, apabila 24 gulung jerami disusun di Kampung Kuala Dulang, Yan Kechil, Yan, Kedah. Lebih menjadi perhatian apabila lokasinya itu yang berlatarbelakangkan Gunung Jerai.


Ini menjadikan kawasan kampung berkenaan sebagai pusat tumpuan orang ramai yang datang untuk bergambar. Menurut Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Dulang Kechil, Ismail Md Zain, ini adalah pertama kali mereka menjadikan kawasan itu sebagai tempat pelancongan.

Difahamkan penduduk sendiri yang membeli 24 gulung jerami itu dengan harga kesemuanya RM1,000 dari Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA). Kata Ismail Md Zain lagi, pada awalnya penduduk membeli gulungan jerami itu untuk menghias kampung ini.

Namun alang-alang musim kemarau kini, mereka menghias kawasan sawah padi kering dengan jerami padi tersebut dengan kreativiti masing-masing.

Hasilnya kawasan itu menjadi lokasi pelancongan. Tambahnya lagi pada bulan April nanti air akan dilepaskan di kawasan ini dan jerami tersebut pula akan dijadikan makanan kepada haiwan ternakan.

Selain dari bergambar ada juga beberapa aktiviti lain yang disediakan, antaranya menunggang kuda bermula 5.30 petang hingga 7.30 malam dengan bayaran RM5 seorang serta perkhidmatan moto ATV untuk RM1 seminit seorang.

Menurut salah seorang pengunjung dari Kuala Lumpur, Norliza Amir Roslan, kawasan di Yan, Kedah itu kelihatan seperti berada di Texas. Malah jika bijak mencari sudut, pengunjung dapat merakamkan foto yang cukup menarik.

Sumber: Sinar Harian