Waheeda Akhirnya Dia Buka Mulut Selepas 10 Tahun Kahwin Dengan Akhil Hayy

Masih ingatkan lagi anda dengan Waheeda yang bersuara lunak ke’arab’ian dan terkenal dengan lagunya berjudul Wassini ini.

Kehilangan Waheeda dalam industri hiburan pada awalnya mengejutkan ramai pihak termasuk peminat beliau memandangkan namanya ketika itu di puncak populariti.

“ Saya tidak pernah merindui zaman popular dan bahagia dengan kehidupan sekarang. Saya ada matlamat hidup yang perlu diperjuangkan,” kata penyanyi, Norwahidah Abdul Wahab, 41, atau Waheeda.

Bagaimanapun Waheeda menolak tanggapan beberapa pihak yang mengatakan dirinya menghilangkan diri selepas berkahwin dengan penceramah bebas, Akhil Hayy Rawa. Menurutnya, sebaik mendirikan rumah tangga pada 2009 dia menghasilkan lagu dengan berada di belakang tabir.

“ Sepanjang 10 tahun ini, saya sudah menghasilkan 50 lagu untuk penyanyi baharu. Saya masih aktif, tetapi kehidupan sekarang bukan seperti dahulu,” katanya.

Menurutnya, semua hasil seninya berbentuk nasihat, kerohanian, kritis dan berilmiah yang bertujuan mendidik masyarakat.

“ Lagu yang dihasilkan ini bukan untuk popular sebaliknya bertujuan mengubah minda pendengar. Dalam industri hiburan, sampai bila kita perlu berada di takuk itu,” katanya ditemui di sebuah pusat beli belah di Damansara, Kuala Lumpur, hari ini.

Katanya, dia yang bergerak menerusi produksinya, Clef akan mengeluarkan single terbaru berjudul Ighfir Zunubi nyanyian Akhil Hayy dan Mawi. Menyingkap sejarah lalu, Waheeda tidak bercadang menjadi penyanyi sebaliknya ia permintaan produser.

“ Selepas berkahwin, saya terfikir mahu menghentikan aktiviti seni tetapi ia percaturan Allah. Mungkin hasil karya ini boleh memberi manfaat kepada orang lain,” katanya yang berkarya di rumahnya di Damansara.

Mengenai rumah tangganya, Waheeda mengakui bahagia malah Akhil bukan saja seorang suami tetapi teman baik.

“ Selain menjadi isteri, saya juga membesarkan dua anak suami (bersama Maizawati) dan mendalami ilmu agama. Buat artis baharu janganlah terlalu mengejar populariti kerana ia datang dan pergi,” katanya yang meminati Floor88.

Bagi artis berusia bawah 18 tahun, Waheeda menasihatkan mereka menamatkan pelajaran terlebih dahulu kerana ilmu begitu penting.

Waheeda sebelum ini terkenal menerusi lagunya, Wassini dan pernah dicalonkan Top 5 bagi Penyanyi Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2003, 2004 dan 2005.

Dia juga memenangi Album Pop Etnik Terbaik di Anugerah Industri Muzik (AIM) 2005 dan 2008 serta Juara Kategori Irama Malaysia di Anugerah Juara Lagu 2003.