“Walaupun Fawwaz Adli Telah Dibenarkan Keluar Dari Hospital Tetapi Dia Bukan Lagi Seperti Dahulu”

“Walaupun Muhammad Fawwaz Adli telah dibenarkan keluar dari Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) hari ini, tetapi dia bukan lagi seperti dahulu”

Itu luahan bapa kepada kanak-kanak lelaki berusia lima tahun tersebut, Mohd. Bukhari Zainal Annuar, 33.

Menurutnya, Muhammad Fawwaz Adli yang parah ditimpa peti sejuk di rumahnya pada 12 Julai lalu tidak lagi mampu berdiri dan bertutur.

Kata beliau, doktor malah memaklumkan keadaan anak sulungnya itu mungkin berlarutan untuk tempoh yang lama.

“Anak saya telah discaj, tetapi dia sudah tidak seperti dulu. Makan perlu menggunakan straw. Doktor kata ia kesan kecederaan yang dialaminya pada bahagian kepala.

“Bagaimanapun saya tetap bersyukur Muhammad Fawwaz Adli selamat menjalani pembedahan dan kami sekeluarga akan tabah menghadapi dugaan ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Kosmo! sebelum ini melaporkan Muhammad Fawwaz Adli mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala selepas ditimpa peti sejuk setinggi kira-kira 1.8 meter di rumahnya di Taman Cempaka, Nilai.

Peti sejuk untuk kegunaan perniagaan itu dibeli oleh bapanya lapan bulan lalu dan ditempatkan sementara di ruang tamu rumah berkenaan.

Kejadian itu disedari oleh ibunya berusia 30 tahun selepas mendengar bunyi dentuman di belakangnya semasa dia sedang menonton televisyen di ruang tamu tersebut.

Ahli keluarganya mengesyaki peti sejuk itu tumbang kerana Muhammad Fawwaz Adli memanjat pintu peti sejuk berkenaan.

Mohd. Bukhari yang juga Ahli Jawatankuasa Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Sembilan berkata, anaknya itu perlu menjalani rawatan susulan di HTJ.

“Selain rawatan susulan di hospital, saya akan mendapatkan rawatan Islam untuk anak saya sebagai ikhtiar memulihkannya,” katanya.

Artikel Berkaitan   Hanya Jual Jajan “Super Ring” Sahaja, Wanita Ini Jana Pendapatan 4 Angka Dalam Sebulan. Ini Rahsianya!

Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu dan sentiasa mendoakan keselamatan serta kesembuhan untuk anaknya.