Walaupun Merupakan Pesakit Kans3r, Terpaksa Jadi Penghantar Makanan, Ini Pesan Ustaz Hanafi

“MEMANG saya mencari pendapatan dengan mengambil upah membuat penghantaran makanan bagi pihak restoran untuk mencari pendapatan.

“Selain itu, saya ingin menyampaikan mesej kepada penghidap kanser lain supaya tidak berputus asa dan jangan duduk diam, sebaliknya lakukanlah perkara kita suka di dalam hidup tanpa mengeluh nasib menimpa,” kata pendakwah terkenal, Mohamed Hanafiah Abdul Malek.

Lebih mesra disapa Ustaz Hanafi, beliau kini giat bekerja sebagai penghantar makanan dari restoran milik kenalannya ke rumah pelanggan di sekitar ibu negara sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan Mac lalu.

Katanya, secara kebetulan, semua aktiviti ceramah dan program motivasi kendaliannya terpaksa dihentikan sepanjang PKP dan dia terfikir untuk melakukan sesuatu yang boleh mendatangkan rezeki buat dirinya dan keluarga.

“Saya mendapat tawaran daripada rakan yang ada restoran, mereka minta saya hantarkan makanan. Jadi saya pusinglah satu Kuala Lumpur. Setiap hari kawasan saya ialah antara Gombak ke sekitar Kuala Lumpur.

“Alhamdulillah, dapat cari duit dengan motosikal masih lagi ada komitmen bulanan,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau yang disahkan menghidap kanser limfoma sejak tiga tahun lalu berkata, keadaan kesihatannya ketika ini semakin pulih dan masih mendapatkan rawatan setiap tiga bulan serta berjumpa pakar.

“Jadi, mesej saya kepada mereka yang menghidap kanser, teruskanlah kehidupan dan jangan putus asa. Macam saya, memang minat dengan motosikal, jadi saya guna motosikal saya untuk tolong kawan berniaga.

“Itu pun tak selalu saya buat, tapi saya pernah dapat sehari RM100. Sepanjang Ramadan lalu, saya dan rakan banyak buat kerja amal bantu orang buta.

“Sejak itu saya rasa nak teruskan buat kerja amal, sambil tolong kawan berniaga,” katanya yang juga tetamu rancangan agama, Tanyalah Ustaz.

Awal hari ini, tular di media sosial gambarnya sedang menggalas beg makanan untuk dihantar kepada pelanggan di Bukit Tunku.

Ustaz Hanafi berkata, dia diminta oleh pemilik kedai untuk menghantar pesanan menggunakan beg berkenaan tengah hari ini kerana jumlah tempahan yang lebih banyak daripada biasa.

“Pemilik kedai ambil gambar. Ramai yang bertanya, betulkah saya jadi penghantar makanan, dan saya jawab ya, itu memang saya,” katanya yang terbabit dengan program dakwah bersama Jabatan Kemajuan islam Malaysia (Jakim) bermula minggu depan.

kredit harian metro