‘Wang RM2 Juta Adalah Sumbangan Politik”- Kes Mahkamah Melibatkan Ahli Politik Ini

Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa wang berjumlah RM2 juta yang didepositkan ke dalam akaun syarikat Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB), yang Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mempunyai saham terbesar dalam syarikat itu, adalah sumbangan politik bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar, Selangor dan Kuala Kangsar, Perak pada Jun 2016.

Ketua Pegawai Operasi THSB, Datuk Mohd. Hasbi Jaafar, 55, berkata, Tengku Adnan memaklumkan perkara tersebut semasa beliau menghubungi bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu pada 14 Jun 2016.

Disoal peguam Datuk Tan Hock Chuan, yang mewakili Tengku Adnan sama ada semasa perbualan telefon itu, Tengku Adnan ada menyebut bahawa wang berkenaan adalah ‘donation’ (sumbangan) bagi dua pilihan raya kecil itu.

Mohd. Hasbi menjawab, “Ya, benar”.

Hock Chuan: Sebagai setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan sering kali membuat ‘cash advance’ untuk parti UMNO.

Mohd. Hasbi: Saya pernah dengar.

Hock Chuan: Adakah kamu tahu ‘cash advance’ itu untuk bayar gaji staf UMNO bagi PRK (Sungai Besar dan Kuala Kangsar), Mohd Hasbi menjawab, “tahu”.

Terdahulu, Mohd. Hasbi ketika membacakan penyataan saksinya berkata, beliau hanya mengetahui cek RM2 juta yang telah didepositkan ke dalam akaun syarikat berkenaan setelah menerima slip deposit cek menerusi WhatsApp yang dihantar Tengku Adnan kepadanya pada 14 Jun 2016. – Bernama

Artikel Berkaitan   “Saya Buat Benda Yang Saya Tak Pernah Buat, Saya Bangun Solat Tahajud Dan Khatam Al-Quran Dalam Tempoh 30 Hari”