Wanita Ini Nak Beli Telefon Untuk Hadiah Ibunya, Mulia Hatinya, Sekali RM1900 Semuanya Duit Palsu

PETALING JAYA: Berpura-pura memerlukan telefon bimbit untuk dijadikan hadiah hari lahir buat ibunya, namun menipu dengan membelinya menggunakan wang palsu.

Akibatnya, seorang lelaki dikenali sebagai David, 31, mendakwa kerugian RM1,900 selepas menerima 19 keping wang tunai RM100 palsu daripada seorang wanita, 21 November lalu.

David berkata, pada mulanya dia memuat naik di laman sesawang untuk menjual telefon pintar berharga RM2,100.

Menurutnya, tidak lama kemudian wanita terbabit menghubunginya dan memberitahu berminat ingin membeli telefon itu.

“Dia juga memberitahu ingin menghadiahkan telefon pintar itu kepada ibunya yang bakal menyambut hari lahir pada keesokannya dan ingin membelinya pada hari itu juga.

“Saya tidak mengesyaki apa-apa dan bertemu dengannya berhampiran kedai di tepi jalan SS2, Petaling Jaya jam 8 malam,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, sebaik bertemu, wanita terbabit menyerahkan wang tunai RM2,100, tetapi dia tidak menyedari wang terbabit palsu kerana ketika itu keadaan gelap.

“Saya hanya menyedari wang itu palsu apabila ingin memasukkannya ke dalam akaun menggunakan mesin deposit tunai (CDM).

“Ketika itu hanya wang tunai RM200 saja tulen manakala bakinya palsu sebelum saya membuat laporan di Balai Polis Sea Park untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

“Wang palsu itu akan dihantar ke Bank Negara Malaysia (BNM) untuk tujuan pengesahan ketulenan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel Berkaitan   “Air Zamzam Tidak Boleh Diperdagangkan!” Ini Sebabnya Kkm Melarang Keras Membeli Air Zam Zam Sekarang