Wanita Kelahiran Pantai Timur Ini Bakal Menjadi Pemegang Rekod Memiliki Tudung Termahal Dalam Dunia Rm70,000

SEORANG usahawan wanita dari negeri Pantai Timur bakal memecah rekod pembelian tudung bawal termahal apabila membuat tempahan tudung berharga RM70,000, baru-baru ini.


Wanita berusia 30-an itu membuat tempahan tudung dengan harga luar biasa itu di sebuah butik di Lembah Sireh di Kota Bharu.

Pengasas butik itu, Haliza Maysuri berkata, wanita berkenaan membuat permintaan rekaan corak dasar laut dengan warna biru air laut untuk kegunaan sendiri.

Katanya, pembelian tudung mahal itu akan memecah rekod tempahan sedia ada yang sebelum ini berharga RM15,000, RM21,600 dan RM33,000.

“Harganya tinggi kerana jumlah kristal swarovski dan hasil kerja rekaan yang ditampal satu persatu menggunakan tangan.

“Setakat ini, kita dalam proses mencari pereka yang sesuai dari Austria untuk memenuhi permintaan pelanggan,” katanya ketika ditemui Harian Metro, malam tadi.

TUDUNG bawal yang terjual RM50,000 oleh pemilik butik sama sebelum ini.

Menurutnya, dia sendiri terkejut dengan kesanggupan pelanggan membeli sehelai tudung dengan harga puluhan ribu ringgit demi kepuasan diri.

“Saya sendiri bertanya kepada mereka kenapa sanggup beli sehelai tudung dengan harga tak masuk akal.

“Usahawan wanita yang enggan dikenali itu berkata, dia beli untuk kepuasan diri selain ingin membantu perniagaan orang Melayu,” katanya.