“Wanita Tak Perlu Berkiblatkan Perkahwinan Semata-Mata”

Usia sudah manganjak 33 tahun, sudah tentu ramai yang akan bertanyakan soalan cepumas mengenai perkahwinan dan soal jodoh kepada pelakon Sharifah Amani.

Tidak pernah menolak untuk mempunyai insan istimewa di dalam hidupnya, bagaimanapun Amani memberitahu ada perkara lain yang perlu difikirkan selain daripada soal kahwin.

Katanya lagi, wanita sekarang lebih berdikari dan mampu untuk mempunyai harta sendiri.

“Biasalah memang menjengkelkan bila orang asyik bertanya bila nak kahwin. Tapi apa yang saya boleh katakan, wanita sekarang tidak seharusnya ‘berkiblatkan’ pasal kahwin semata-mata.

“Kerana pada saya, wanita sekarang lebih berdikari kerana ada kerjaya sendiri, mampu untuk ada harta sendiri seperti rumah dan bergerak ke mana-mana sahaja.

“Jadi, tidak perlu untuk kita fikir untuk ada seseorang bagi menyokong namun apabila kita sudah jatuh cinta, kita akan tahu sendiri indahnya perasaan itu,” katanya kepada MHETV.

Jelasnya lagi, dia bukanlah menolak fitrah kerana hatinya sentiasa terbuka untuk menerima cinta. Dalam pada itu, Amani turut berkongsikan ciri-ciri dan kriteria lelaki idamannya.

“Lelaki itu haruslah ada ‘sense of humor’, kena tahu dan cintakan seni dan paling penting, dia boleh ‘masuk’ dengan keluarga dan kawan-kawan saya.

“Ikatan kekeluargaan saya dan ahli keluarga yang lain sangat kuat dan kerana itu, bukan senang untuk orang luar ‘masuk’ ke dalamnya. Ibu bapa saya besarkan saya dengan penuh teliti, jadi kenapa saya nak kena bagi ‘diskaun’?” katanya.

(Visited 199 times, 1 visits today)