Warga Emas Dan Berpenyakit Tidak Sedar Diri Meraba 2 Orang Cucunya Kerana Nafsu

KLANG – Seorang datuk dijatuhkan hukuman penjara 18 tahun di Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap cucu tirinya yang berusia sembilan tahun pada Februari dan Jun tahun lalu.

Tertuduh yang berusia 72 tahun didapati bersalah terhadap dua pertuduhan berkenaan yang dilakukan di Kampung Keretapi, Pelabuhan Klang antara jam 2 hingga 4 petang.

Hakim, Datin Kunasundary Marimuthu membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Warga emas itu juga diperintah di bawah Seksyen 26 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 untuk rawatan kaunseling selama tempoh penahanan dan perintah pengawasan polis selama setahun di bawah Seksyen 27 Akta yang sama.

Dia juga didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah Akta yang sama, memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan bagi setiap pertuduhan jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hasifulkhair Mohd Jamaluddin manakala tertuduh diwakili peguam bela Mohamed Imran Mohamed Sam.

Terdahulu Mohamed Imran memohon hukuman ditangguhkan bagi membolehkan rayuan difailkan atas alasan anak guamnya berstatus warga emas dan mempunyai penyakit di bahu serta katarak mata.

Bagaimanapun, Hasifulkhair memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira kesalahan yang dilakukan terhadap mangsa yang hanya berusia sembilan tahun.

Mahkamah kemudian menolak penangguhan pelaksanaan hukuman dan tertuduh perlu menjalani hukuman untuk setiap kesalahan secara berasingan.

Seramai tujuh saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang prosiding berlangsung.

Artikel Berkaitan   Malas Dah Hidup Bersama Suami Tua, Isteri Nekad Racun Dan Jerut Leher Suami