Warga Emas Dituduh Dengan 8 Tuduhan Merogol Kanak-Kanak Berumur 12 Tahun

SEREMBAN: Seorang lelaki warga emas yang didakwa melakukan amang seksual terhadap budak perempuan berusia 12 tahun tidak dibenarkan diikat jamin oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hakim Junaidah Mohd Isa tidak membenarkan ikat jamin terhadap pemandu lori, V Subramaniam, 65, selepas mendengar hujahan pihak pendakwaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin, berkata tertuduh mengenali keluarga mangsa dan sekiranya dibenarkan jaminan kemungkinan tertuduh akan melakukan gangguan terhadap keluarga terbabit.

Tertuduh sebelum itu mengaku tidak bersalah terhadap lapan pertuduhan mengikut Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan satu pertuduhan mengikut Seksyen 293 Kanun Keseksaan.

Mengikut dua pertuduhan, tertuduh didakwa menghasilkan dan memiliki video pornografi kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun di dalam telefon bimbit miliknya.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa memujuk mangsa dengan menjanjikan untuk membeli pelbagai jenis barangan serta pakaian dengan niat untuk melakukan amang seksual terhadap mangsa.

Bagi lima pertuduhan lain, dia didakwa melakukan amang seksual, menyuruh mangsa melakukan perbuatan seks terhadapnya dan membiarkan mangsa melihat perbuatan seks itu.

Semua perbuatan itu dilakukan di parkir bangunan Kompleks Penjaja Majlis Perbandaran Seremban di sini, pada jam 6 petang antara minggu kedua hingga minggu ketiga Jun lalu.

Sementara itu, Subramaniam turut didakwa atas satu pertuduhan pilihan iaitu memiliki bahan lucah di dalam telefon bimbit miliknya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, jam 2.30 pagi pada 10 Julai lalu.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya mengikut Seksyen 293 Kanun Keseksaan.

Terdahulu dilaporkan lelaki warga emas yang disyaki melakukan gangguan seksual dan mencabul kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang tular di laman sosial Facebook, ditahan polis.

Artikel Berkaitan   Gara-Gara Tiada Duit Cukup Untuk Masuk Hospital, Lelaki Dibiarkan Mati Di Bawah Pokok

Dia ditahan di Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Gopeng, Perak jam 9.20 malam pada 9 Julai lalu.