Warga Emas Meringkuk Di Penjara Gara-Gara Rogol Anak Sendiri, Harap Dapat Bersama Anak-Anak Sebelum “Pergi”

MENGIKUT rekod, warga emas ini antara penghuni tertua di Penjara Marang yang menjalani hukuman atas jenayah rogol dilakukannya.

Kesalahan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan itu menyebabkan Pak Husin, 70, (bukan nama sebenar) dipenjarakan selama 20 tahun dan lima tahun lagi dia bakal bebas selepas tempoh hukuman berakhir.

Akuinya, selama hidup di balik tirai besi, dia banyak melakukan solat Taubat dan menyesali perbuatan lalu kerana menghancurkan hidup sendiri serta keluarga.

“Jika boleh saya ingin menghabiskan penghujung usia ini dengan anak. Saya bersyukur keluarga menerima dan memaafkan kesalahan saya.

“Apabila difikirkan, saya rasa malu dan jijik dengan diri sendiri kerana tergamak merogol anak sendiri,” katanya yang ditemui, baru-baru ini.

Hasratnya mahu memulakan kehidupan baharu bersama keluarga apabila dibebaskan nanti dan mengecap kembali kemanisan bersama insan tersayang yang banyak ditinggalkan.

Katanya, dia juga mahu meneruskan apa yang dipelajari dalam penjara apabila keluar nanti terutama mencari bekalan untuk dibawa menghadap Ilahi.

“Setahun dalam penjara, saya capai ketenangan dengan mendekatkan diri dengan Allah, bangun solat malam dan membaca al-Quran,” katanya.

Dia berharap semua urusannya dipermudahkan dan kembali bersama keluarga.

kredit harian metro

Artikel Berkaitan   Sheila Rusly Menangis Sampai Merah Muka Kerana Tindakan Saharul Ridzwan… Dah Kenapa Tu?