Wawa Zainal Terpaksa Ditahan Lima Jam Di Hospital Sabah, Akibat Makan Macam-Macam

KUALA LUMPUR – Pelakon Wawa Zainal ditahan selama lima jam di Hospital Pakar KPJ Kota Kinabalu, Sabah sekitar 11 pagi tadi kerana mengalami keracunan makanan.

Menurut suaminya yang juga pelakon Aeril Zafrel, Wawa mengalami keracunan dan muntah-muntah kerana terlampau banyak makan makanan laut seperti ikan, sotong, udang selain buah-buahan iaitu manggis, durian, nanas dan tarap.

Namun, keadaan kesihatan Wawa, 28, disahkan stabil dan telah dibenarkan keluar dari hospital.

“Alhamdulillah semuanya okey. Wawa stabil dan tiada apa-apa yang serius berlaku. Cuma dia berasa sakit sebab sedang mengandung, tetapi syukur kandungannya stabil. Mujurlah kami cepat datang ke hospital.

“Sekarang dia sudah dibenarkan keluar hospital memandangkan malam ini kami perlu pulang ke Kuala Lumpur,” ujar Aeril ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

Kata Aeril, 31, Wawa terlampau teruja kerana dapat pulang ke negeri kelahirannya sehingga tidak dapat mengawal selera makan.

“Kami datang ke Kota Kinabalu sejak kelmarin atas urusan kerja. Tetapi mungkin dia teruja sangat dapat balik Sabah sampai makan macam-macam,” ujarnya.

April lalu, pasangan itu mengumumkan bakal menimang cahaya mata ketiga selepas Wawa disahkan hamil.

Pasangan yang mendirikan rumah tangga pada 2012 itu telah dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Ahmad Fakhruddin Attar, 6, dan Hayla Maghfiratul Adzkiyaa, 4. – K ONLINE