“Wei, Kau Gila Ke Memandu Lawan Arus” Ramai Orang Yang Menuduh Wanita Ini, Ini Jawapan Wanita Tersebut

AMPANG – Seorang wanita ditahan selepas disyaki memandu secara melawan arus dalam kejadian yang tular di laman media sosial di Lebuh Raya Sungai Besi (Besraya) di sini kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintendan Azman Shari’at berkata, wanita berusia 27 tahun itu ditahan pada pukul 8.45 malam di Balai Polis Trafik Ampang Jaya semalam.

“Kita menahan wanita tersebut susulan sebuah video yang tular menunjukkan sebuah kereta jenis Perodua Alza dipandu secara lawan arus di lokasi kejadian menghala ke Pandan Indah.

“Ketika disiasat, wanita itu mengaku memandu sebegitu kerana panik akibat tersilap masuk ke laluan bertentangan ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya,

“Disebabkan dia mahu keluar dengan cepat, dia terpaksa memandu secara melawan arus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya lagi, hasil ujian saringan awal air kencing menunjukkan negatif dan wanita itu dibebaskan dengan jaminan polis dan siasatan diteruskan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Media sebelum ini melaporkan, sebuah video berdurasi 42 saat tular di laman media sosial yang menunjukkan sebuah kereta jenis Perodua Alza berwarna putih telah dipandu secara melawan arus.

Menerusi video yang dipercayai dirakam oleh seorang penunggang motosikal, kereta tersebut dipandu di lorong paling kanan laluan tersebut. – K! ONLINE

Artikel Berkaitan   Tak Nak Terputus Hubungan Dengan Dunia Luar, Cara Kreatif Orang Sabah Dapatkan “Line” Tarik Perhatian, Memang Kreatif!