Zul Ariffin Bakal Tamatkan Zaman Bujang Dengan Wanita Non Muslim Pilihannya

Pelakon Zul Ariffin merancang untuk berkahwin dengan wanita pilihannya pada tahun depan.


Zul atau nama sebenarnya, Zulkifli Arifin, 33, berkata, wanita tersebut merupakan seorang bukan muslim dan sedang mendalami Islam.

Menurutnya, seiring peningkatan usia dan kematangan, dia yakin telah bersedia untuk mendirikan rumah tangga.

“Saya membuat keputusan untuk menjalinkan hubungan yang halal seterusnya bercinta selepas bernikah. Umur saya semakin meningkat dan saya semakin matang.

“Pengalaman lalu banyak membentuk saya. Saya hanya mahu berkahwin dan menjadi yang terbaik,” katanya ketika ditemui pada tayangan perdana Sangkar.

Tidak mendedahkan lebih lanjut mengenai identiti bakal isteri, Zul berkata, dia memberi ruang kepada kenalannya itu untuk mengenali Islam terlebih dahulu.

“Saya tidak mahu seseorang menukar agama hanya kerana ingin bersama-sama atau mendirikan perkahwinan. Itu tidak baik. Biarlah dia mengambil masa untuk mengenali Islam,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai proses untuk mendirikan rumah tangga, Zul berkata, ia berjalan dengan lancar.

“Perancangan ke arah itu sudah melebihi 70 peratus. Jika ada berita baik, pastinya saya akan kongsinya,” katanya.

Zul kini dalam rangka promosi filem terbaharunya yang mengangkat sukan seni mempertahankan diri campuran (MMA) iaitu Sangkar.

Filem tersebut bakal ditayangkan bermula 29 Ogos ini di seluruh negara. – K! ONLINE