10 Bahan Makanan Ini Sesuai Untuk Anda Yang Mahu Turunkan Berat Badan
Ramai yang meletakkan azam tahun baru untuk jadi lebih kurus. Namun, tak ramai yang bersungguh-sungguh dan berjaya turunkan berat badan akibat tabiat makan yang sukar diubah atau mudah tergoda dengan makanan tinggi kalori.
Walau bagaimanapun, masih belum terlambat untuk ulang kembali jika terbantut di permulaan. Lihat semula tabiat makan dan ubah menu diet jika terlalu ekstrim.
Berikut 10 jenis makanan penurun berat badan yang terdiri daripada pelbagai buah-buahan, sayur-sayuran dan teh.
1. Tembikai
Tembikai kaya dengan mineral seperti beta karotena, magnesium, fosforus, kalsium, zat besi, kuprum dan zink; merupakan sejenis buah yang sangat membantu dalam proses menurunkan berat badan.
Tembikai mempunyai sifat laksatif (julap) yang membantu proses pencernaan dan mencegah penyimpanan lemak, yang mana akan mengelakkan pertambahan berat badan.
Ia juga kaya dengan serat dan dikenali sebagai ‘buah pengempis perut’. Jumlah kalori tembikai juga sangat rendah iaitu sebanyak 38 kalori per 100 gram sahaja.
Sama ada dimakan begitu sahaja atau dibuat jus atau smoothie, jumlah pengambilan dalam satu masa tidak boleh terlalu banyak. Cukup bersederhana sahaja.
2. Lemon
GAMBAR: RODALE’S ORGANIC LIFE
Merupakan antioksidan yang kuat, lemon mengandungi paras vitamin C yang tinggi, dan mengaktifkan rembesan hempedu dalam tubuh untuk membantu pencernaan makanan. Asid sitrik dalam lemon juga menolong perut membakar lemak dan protein.
Lemon boleh dinikmati dalam bentuk air lemon suam atau dihiris lalu dimasukkan ke dalam air kosong dan disimpan dalam peti sejuk. Boleh juga masukkan lemon dalam masakan atau salad.
Jumlah kalori lemon hanyalah 33 kalori per 100 gram.
3. Nanas
Nanas, salah satu buah yang bagus dimakan untuk menurunkan berat badan kerana mengandungi bromelain secara semula jadi, iaitu enzim pembakar lemak terbaik. Enzim bromelain membantu proses penyingkiran lemak dengan memecahkan tisu selnya.
Satu lagi kebaikan nanas adalah membantu pencernaan protein haiwan. Jadi, ia sesuai dimasukkan ke dalam masakan daging lembu atau kambing untuk bantu proses pencernaan makanan.
Cara lain, tambahkan nanas dalam salad, dimakan begitu sahaja atau dibuat jus. Jumlah kalori nanas ialah 33 kalori per 100 gram.
4. Lobak Hitam
GAMBAR: HEALTHY FOOD SECRET
Lobak hitam atau ‘black radish’ merupakan perencat selera (atau nafsu makan melampau) yang sangat berkesan kerana memiliki paras protein sayur dan iodin yang tinggi.
Lobak hitam merangsang fungsi kelenjar tiroid dan juga merupakan makanan detoks yang bagus dan jumlah kalori lobak hitam amat rendah iaitu hanya 17.8 kalori per 100 gram.
5. Adas/Jintan Hitam
Adas atau habbatussauda mengandungi tidak kurang daripada sedozen elemen antioksidan, terutamanya flavonoid yang penting dalam menyingkirkan radikal bebas.
Adas kaya dengan potasium dan kalsium serta mempunyai jumlah kalori 20 kalori per 100 gram. Adas jadi makanan ideal untuk mengelak pertambahan berat badan tetapi dalam masa yang sama tetap membekalkan mineral kepada tubuh.
6. Lobak Merah
Sayur berwarna oren ini mengandungi kepekatan karotenoid (vitamin A), beta dan alfa karotena yang tinggi.
Setiap 100 gram lobak merah, sudah memadai untuk membekalkan lebih daripada separuh keperluan harian seorang dewasa.
Ia juga mengandungi vitamin B dan K. Selain itu terdapat juga potasium, kalsium, magnesium dan zat besi dalam kuantiti yang mencukupi untuk tubuh.
Jumlah kalori lobak merah ialah 36 kalori per 100 gram ini boleh dinikmati mentah dan dijadikan snek. Jika gemar tekstur lebih lembut, boleh dikukus dahulu.
7. Tomato Ceri
Tomato ceri bersaiz lebih kecil berbanding tomato biasa. Ia kaya dengan magnesium, kalsium, vitamin C dan vitamin B9.
Sifat diuretik yang ada pada tomato ceri mampu bantu penyingkiran toksin dalam kuantiti yang besar, justeru membantu mengelakkan penimbunan lemak dalam tubuh.
Tomato ceri mempunyai 29 kalori per 100 gram ini sering dimasukkan ke dalam salad atau diletakkan dalam sandwic dan pasta.
8. Raspberi
GAMBAR: ARBOR DAY FOUNDATION
Merupakan salah satu buah dari jenis beri. Raspberi mempunyai kandungan serat yang tinggi yang berupaya melancarkan pencernaan. Ia juga kaya vitamin C, magnesium dan kalsium.
Jumlah kalori ialah 45 kalori per 100 gram.
9. Timun
Timun terdiri daripada 97% air. Ini menjadikan timun sebagai makanan diuretik yang paling ‘top’ dalam senarai ini. Ia menggalakkan dan mempercepat penurunan berat badan.
Selain itu, timun juga kaya vitamin K dan rendah kalori. Jumlah kalori timun hanyalah 12 kalori per 100 gram. Timun boleh dijadikan ulam atau dibuat jus.
10. Teh
Teh mempunyai hanya 0 ke 1 kalori per 100 gram sahaja. Dan kandungan polifenol dalam teh membantu pembakaran lemak dalam tubuh, manakala sifat diuretiknya pula membantu penyingkiran toksin.
Nikmati teh panas ketika dalam proses menurunkan berat badan. Tapi awas, jangan pula ditambah gula kerana gula mempunyai kalori yang tinggi – Thevocket